Mahkamah tolak permohonan UMNO untuk batal saman
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.
Pada Mei lepas, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama dengan anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.
Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman, yang mewakili UMNO berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menolak permohonan parti politik itu atas alasan kes tersebut tidak sesuai diketepikan pada peringkat ini kerana terdapat isu yang perlu diputuskan semasa perbicaraan.
“Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif untuk meminda nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Ahmad Maslan yang pada asalnya dinamakan sebagai pemegang jawatan parti, yang mewakili UMNO dalam tuntutan saman dan digantikan dengan nama Datuk Mohd Sumali Reduan iaitu Setiausaha Kerja UMNO sebagai pegawai awam yang mewakili parti tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita selepas pendengaran permohonan itu yang berlangsung secara dalam talian.
Beliau juga berkata mahkamah membenarkan permohonan UMNO untuk satu perintah penggantungan interim daripada memfailkan pernyataan pembelaan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan pada Rabu.
Prosiding pada Rabu disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah bagi pihak kesemua plaintif.
SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran menyaman UMNO bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu.
Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
Saman itu difailkan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!