Pengedar dicekup bersama dadah bernilai RM38,535

Antara barangan dirampas polis dalam kejadian di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara barangan dirampas polis dalam kejadian di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan berhampiran tangga sebuah flat di Bandar Baru Sentul di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemeriksaan terhadap suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu menemui dadah jenis heroin anggaran berat 31 gram.

Menurut beliau, susulan itu, suspek membawa polis ke kediamannya di flat tersebut dan menjumpai dadah jenis heroin anggaran berat 1,070 gram.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM60,000 dan pelbagai barang kemas termasuk cincin, rantai subang dan loket yang dipercayai dibeli hasil jualan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 1,101 gram dianggarkan bernilai RM38,535 dan boleh diedarkan kepada 2,202 pengguna," katanya.

Tambah Eng Lai, ujian saringan air kencing didapati suspek negatif dadah tetapi mempunyai satu rekod berkaitan dadah.

"Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah heroin di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun 2020. Polis percaya tangkapan berkenaan berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sentul dan Lembah Klang

"Suspek direman enam hari bermula Selasa hingga Ahad manakala siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti pembekal dan sumber bekalan diperoleh," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!