KRM utamakan lokal, tidak guna naturalisasi

Shahrul Zaman Yahya
Shahrul Zaman Yahya
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) tidak menggunakan khidmat pemain naturalisasi bagi kedua-dua pasukan 7-sebelah (7s) lelaki dan wanita kebangsaan sebagai langkah mengetengahkan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, keputusan berkenaan dibuat ketika pasukan membuat persiapan menghadapi Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijadual pada 19 dan 20 November ini, selepas dua tahun tiada kejohanan susulan pandemik Covid-19.

“Sebelum ini kita pernah menggunakan khidmat pemain naturalisasi, tapi kita yakin dengan keupayaan pemain muda tempatan yang memerlukan pengalaman dan peluang mengasah bakat mereka pada kejohanan kali ini selepas ditangguhkan selama dua tahun.

“Untuk rekod, kita masih menggunakan khidmat pemain naturalisasi dalam pasukan 15s lelaki dan wanita.

“Jika dibandingkan, pemain naturalisasi mempunyai kelebihan dari segi saiz badan berbanding pemain tempatan. Namun, saya yakin pemain dapat bermain dengan baik selepas meraih pengalaman di padang,” katanya pada Rabu.

Shahrul Zaman berkata KRM perlu mematuhi peraturan ditetapkan daripada organisasi pelbagai sukan seperti jawatankuasa penganjur Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang tidak membenarkan pemain naturalisasi bertanding dalam kejohanan anjuran mereka.

Skuad Bunga Raya diundi bersama Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina dalam Kumpulan A saingan ARC di Dubai yang menjadi pusingan kelayakan Piala Dunia Ragbi 7s 2022 sementara Kumpulan B dibarisi pasukan tuan rumah, Jepun, Sri Lanka dan China.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir dan pasukan yang mara ke final layak bertanding di Piala Dunia 7s dijadual pada September tahun depan di Cape Town, Afrika Selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!