PSM diminta hormati hukuman ASTAF
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa untuk tidak terus menimbulkan konfrontasi baharu tanpa menghiraukan hukuman dikenakan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang menyingkirkan PSM dari badan induk sepak takraw Asia itu.
Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Araniri Syed Ahmad, PSM mesti menerima hakikat apabila disingkir ASTAF, sebarang kursus sama ada pengadilan atau kejurulatihan, pertandingan, seminar atau penganjuran aktiviti mengguna pakai undang-undang/peraturan, pengadil ASTAF, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan pelbagai bentuk entiti milik ASTAF adalah tidak dibenarkan malah akan mengundang tindakan lebih agresif dari badan induk tersebut.
“Kami juga menyeru para peminat dan penggiat sepak takraw supaya berhati-hati dengan keterlibatan dalam apa jua bentuk penganjuran aktiviti oleh PSM yang telah disingkir ASTAF kerana ditakuti sijil yang diperolehi mereka tiada nilai dan hanya merugikan masa serta wang ringgit. Tambahan pula pengendali program juga boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh ASTAF,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu
Gesaan PSTPs itu timbul apabila mendakwa terdapat ura-ura bahawa PSM akan menganjurkan kursus pengadil hujung November ini selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu pada 30 Oktober lalu.
Tegas Syed Araniri lagi, PSTPs juga mengingatkan badan induk itu untuk lebih bertanggungjawab dalam menghormati tindakan yang dikenakan ASTAF pada Mei lalu.
Jelasnya, PSM mestilah akur bahawa apabila telah disingkir ASTAF, maka semua aktiviti yang berteraskan entiti ASTAF mesti dihentikan segera.
"Jelasnya negara amat memerlukan sebuah entiti baru sepak takraw negara yang diterima ASTAF untuk meneruskan kembali program pembangunan sepak takraw negara.
"Hanya sebuah entiti baru sahaja dijamin dapat memulihkan semula imej, maruah dan martabat sukan sepak takraw negara di mata dunia setelah diterima ASTAF kembali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!