Jho Low bayar Emily Ratajkowski AS$25,000 jadi peneman ke Super Bowl

Jho Low (kiri) dan Emily Ratajkowski - Foto Instagram/ emrata
Jho Low (kiri) dan Emily Ratajkowski - Foto Instagram/ emrata
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa telah membayar AS$25,000 (RM103,837) kepada model terkenal, Emily Ratajkowski sebagai upah menjadi penemannya di acara Super Bowl.

Dakwa Ratajkowski, dia sendiri tidak pasti mengapa dia berada di sana, untuk berapa lama dia perlu berada di sana dan dengan siapa dia perlu berurusan untuk memastikan sama ada dia boleh meninggalkan acara tersebut.

Tambahnya, dia hanya dibayar dan menjalankan tugasnya sahaja.

Dalam temu bual bersama The Sunday Times Magazine sempena pelancaran memoirnya yang berjudul ‘My Body’, dia turut membuat pengakuan bahawa ada seorang model terkenal yang turut berada di tempat kejadian.

Walaupun Ratajkowski tidak menyebut siapakah gerangan model tersebut, namun penulisan dalam buku ‘My Body’ ada mendedahkan bahawa wanita itu adalah seorang model Victoria Secret, Miranda Kerr yang juga bekas isteri kepada Orlando Bloom.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan edisi perlawanan kejohanan tahunan National Football League (NFL) yang dihadiri atas tujuan kerja tersebut.

Jho Low merupakan individu yang dikehendaki malah turut dikenali di serata dunia dengan gelaran "the billion dollar whale", telah berulang kali menegaskan bahawa dia bukanlah dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang digambarkan secara terbuka.

Sebelum ini, Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mendakwa anak kelahiran Pulau Pinang itu dengan tuduhan baharu melobi pentadbiran Donald Trump dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk menggugurkan siasatan berkaitan skandal rasuah global, 1MDB. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!