Kim Swee: Penyudah The Rhinos perlu lebih tajam
PEMAIN Sabah FC perlu memanfaatkan setiap peluang diperolehi dengan menterjemahkannya dalam bentuk jaringan ketika beraksi di pentas suku akhir Piala Malaysia.
Menurut pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee, kriteria itu penting dalam usaha memastikan The Rhinos mampu mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini.
Malah katanya, aspek itu perlu diperbaiki skuad The Rhinos itu terutamanya menjelang aksi suku akhir pertama berdepan Melaka United FC di Stadium Likas pada 14 November ini.
“Kita mencipta peluang dan ia perlu diperbaiki. Kerana apabila kita bermain di peringkat suku akhir peluang-peluang ini perlu kita terjemahkan.
“Apatah lagi apabila kita bermain di tempat sendiri nanti,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan pada Selasa.
Sabah FC mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) ke saingan suku akhir Piala Malaysia setelah menewaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Likas, pada Selasa.
Pemain pertahanan yang juga kapten The Rhinos, Ritro Mitrevski, muncul wira skuad The Rhinos itu menerusi jaringan pada minit ke-21.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Sabah merebut slot terakhir ke suku akhir apabila menamatkan saingan peringkat Kumpulan D pada kedudukan kedua di belakang JDT dengan lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan tewas dua kali daripada enam perlawanan.
Mengenai kemenangan ke atas PJ City FC, Kim Swee berkata, para pemain telah beraksi mengikut arahan di sepanjang perlawanan bagi mempertahankan kelebihan gol yang dimiliki.
Malah katanya, pemain juga berjaya mengawal perlawanan dengan baik bagi menangani asakan-asakan daripada jentera serangan The Phoenix kendalian P Maniam tersebut.
“Perlawanan ini bukan mudah dan PJ City FC banyak berikan tekanan kepada kita terutamanya pada separuh masa kedua.
“Namun paling penting kesemua pemain berjaya kekal fokus ketika berdepan asakan-asakan berkenaan dan seterusnya menghasilkan kemenangan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!