PKP popularkan Eizan's Bakery
SEREMBAN - Siapa sangka, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan di rumah kini mampu melebarkan sayap perniagaan yang lebih luas apabila berjaya membuka sebuah premis berasaskan kek dan roti di Seremban 2.
Kedai Eizan's Bakery Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya usahawan bumiputera itu mula beroperasi secara rasmi pada April lalu, setelah hampir lapan tahun menjalankan perniagaan di rumah.
Berbekalkan semangat dan kecekalan untuk memenuhi cita-cita yang lama terpendam, akhirnya pemilik Eizan's Bakery, Norhaizan Razak,42, berjaya membuka sebuah kedainya sendiri, dengan hasil simpanan titik peluh yang diusahakan sejak 2013 di rumah.
Menurut Norhaizan, tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu, permintaan terhadap tempahan makanan terutamanya kek, roti dan kuih sangat menggalakkan.
Malah katanya, dia tidak cukup tangan untuk menyiapkan semua tempahan, terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Semasa PKP lalu, permintaan terhadap kuih, kek dan roti sangat mendadak, walaupun ada individu yang perniagaannya terjejas pada waktu itu, tetapi bagi saya syukur alhamdulillah, rezeki tempahan pada musim PKP sentiasa ada.
“Bermula dari situlah, saya mula menyatakan hasrat kepada suami untuk membuka sebuah kedai berasaskan kek dan roti, bagi membolehkan saya membuat tempahan dalam kuantiti yang lebih banyak, selain menyediakan makanan dengan lebih teratur dan bersistematik,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Norhaizan, walaupun semua produknya dihasilkan dalam kuantiti yang banyak, namun kualiti, rasa kuih dan rotinya tetap kekal sama seperti buat di rumah, memandangkan semuanya dibuat secara manual.
Ujarnya, disebabkan mahu mengekalkan produk buatan tangan, dia akan memastikan setiap pekerjanya melakukan sendiri tanpa menggunakan mesin.
Jelasnya, antara produk paling laris ialah kuih tat nenas, semperit, roti sardin dan kek kukus.
“Tat nenas memang produk 'killer' Eizan's Bakery, inti tat nanas kita buat sendiri, kupas nanas, dan masak sendiri intinya dalam kawah besar, bagi memastikan tekstur inti tat nanas itu memenuhi cita rasa pelanggan.
“Kalau dulu kuih tat nanas hanya dicari semasa musim perayaan tetapi sekarang kuih ini sentiasa dicari, dalam sebulan kita boleh menjual tat nanas anggaran lebih 200 balang.
“Selain itu saya juga menerima banyak tempahan kek kukus yang juga antara salah satu produk yang digemari oleh pelanggan setia Eizan's Bakery,” katanya.
Berkonsepkan 'mesra poket' dan 'makan sendiri', membuatkan Norhizan menghasilkan semua produknya berkualiti dengan menggunakan bahan premium supaya pelanggannya puas hati.
Untuk mengetahui lebih lanjut, pelanggan boleh berkunjung ke kedai yang terletak di Seremban 2, atau membuat tempahan kek melalui website di www.eizan'sbakery.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!