Speedy Tigers bawa momentum positif ke Trofi Juara-Juara Asia
KERJASAMA sebagai satu unit dan aura positif semasa beraksi sepanjang Siri Jelajah United Kingdom (UK) 2021, akan menjadi sandaran Speedy Tigers menjelang kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia di Bangladesh, Disember depan.
Pengendali Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, banyak elemen positif sepanjang siri jelajah itu yang berjaya diterjemahkan dalam kalangan pemain senior dan junior negara selepas dua tahun tidak beraksi di saingan luar negara.
“Sejujurnya banyak perkara positif yang diperoleh para pemain sepanjang 33 hari mengikuti siri jelajah tersebut, antaranya pasukan ini berjaya bergerak sebagai satu unit apabila berdepan setiap pasukan lawan.
“Apabila bergerak sebagai satu unit, pemain-pemain pertahanan pun akan turut sama membantu untuk menjaringkan gol pasukan. Malah saya gembira apabila pemain pertahanan mampu menjaringkan gol padang sekali gus membuktikan kemampuan pasukan ini untuk pergi lebih jauh sebagai satu unit.
“Matlamat saya adalah membentuk corak permainan yang sesuai untuk pemain-pemain kita, dan saya gembira momentum positif ini berjaya dikekalkan para pemain,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada saingan di Dhaka itu, anak buah Arul Selvaraj diundi bersama lima jagoan Asia lain seperti India, Korea Selatan, Jepun, Pakistan dan China.
Pada masa sama Arul juga memuji karakter dalam kalangan pemain Speedy Tigers apabila berjaya mempamerkan sikap terpuji dan komitmen tinggi sepanjang siri jelajah itu.
“Saya gembira dengan para pemain apabila mereka mempunyai kemahuan tinggi untuk memberikan terbaik dalam setiap perlawanan. Sikap dan kemahuan dalam kalangan mereka juga cukup positif apabila menterjemahkan setiap tugasan dengan sempurna.
“Sebagai contoh beberapa perubahan posisi dalam kalangan pemain sebelum ini seperti Faizal Saari dan Firhan Ashari yang beraksi di bahagian tengah begitu juga Shello Silverius di jentera serangan yang nampaknya selesa di posisi baharunya telah memberikan aksi terbaik.
“Jadi elemen-elemen inilah yang menjadikan pasukan kali ini lebih menyerlah pada siri jelajah ini selepas ketiadaan perlawanan kompetitif sekian lama berikutan pandemik Covid-19,” ujar Arul.
Pada masa itu, Arul Selvaraj menegaskan beliau juga akan memberi perhatian terhadap memperbaiki corak bertahan pasukan negara selepas kehilangan bola sebelum kejuaraan yang disertai jagoan hoki Asia tersebut bermula.
“Ini antara kelemahan utama yang akan kita perbaiki, supaya selepas ini apabila setiap kali kita kehilangan bola kita dapat bertindak balas dengan pantas. Malah saya telah menyediakan pelan apa yang perlu kita buat bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!