Jambatan 2.3km rentasi Sungai Pahang ciri unik Seksyen 6 ECRL

Jambatan sepanjang 2.3km sedang dibina merentasi sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang pada Rabu. - Foto Bernama
Jambatan sepanjang 2.3km sedang dibina merentasi sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Jambatan sepanjang 2.3 kilometer yang sedang dibina dan bakal merentasi sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia, Sungai Pahang, adalah salah satu ciri unik di Seksyen Enam Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang bermula dari Paya Besar, Kuantan ke Lanchang di sini.

Pihak China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan Pegawai Perhubungan Awam Seksyen Enam ECRL, Satnam Singh berkata pembinaan jambatan itu telah bermula Mac lepas dan dijangka siap pada Disember 2023.

"Sebaik siap, jambatan yang bermula dari Kampung Tengah dan berakhir di Kampung Tanjung Batu itu akan membolehkan pengguna melihat sangkar ikan patin, yang menjadi kebanggaan Temerloh.

"Jambatan itu berketinggian 50 meter memandangkan kawasan tersebut sering dilanda banjir, serta sejarah banjir telah diambil kira dalam perancangan, termasuklah yang terkini iaitu banjir besar awal tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan pembinaan jambatan berkenaan di sini pada Rabu.

Setakat ini, 95 orang pekerja mengejar masa bekerja dari 8 pagi hingga 8 malam untuk menyiapkan sebanyak kerja yang boleh, sebelum musim monsun bermula dan mengakibatkan kerja-kerja pembinaan tertangguh.

Satnam berkata, secara keseluruhan jambatan tersebut terdiri daripada 538 asas cerucuk, 63 tiang dan dua penampan. "Pembinaan asas cerucuk menggunakan teknik menggali lubang secara penggerudian berputar dan menuang konkrit dalam air, menggunakan empat gerudi penggerudian berputar, tiga kren bergerak dan dua jengkaut,” katanya.

Menurutnya setakat ini, 60 peratus kerja-kerja pembinaan asas cerucuk telah dijalankan. Satnam berkata, aspek keselamatan diberi keutamaan bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku, seperti lemas, justeru semua pekerja dikehendaki memakai jaket keselamatan sebagai tambahan kepada pakaian perlindungan diri (PPE) yang biasa dipakai pekerja pembinaan.

Sementara itu, Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran CCC-ECRL, Major (B) Mohd Salahuddin Yaakob berkata, semua pekerja mestilah lulus kursus keselamatan di Pusat Latihan Keselamatan syarikat itu di Kampung Paya Pasir dekat sini, sebelum dibenarkan bekerja di lapangan.

Terkini, seramai 2,500 pekerja telah menjalani latihan itu yang dikendalikan oleh pengajar terlatih menggunakan modul yang diwajibkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!