Usaha pastikan Harimau Malaya tidak pupus jadi tumpuan Dewan Rakyat

Harimau Malaya. - Gambar hiasan
Harimau Malaya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan Harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kelebihan inisiatif baharu MyDaftar orang kurang upaya (OKU).

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada inisiatif itu dapat menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU di Malaysia.

Dalam pertanyaan bagi jawab lisan pula, Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha kerajaan dalam meningkatkan kemahiran insaniah pekerja ekonomi gig untuk memastikan tahap pekerjaan dan gaji mereka dapat terus meningkat.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-11 pada Khamis akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Kewangan. Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan berakhir hari ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 November.

Artikel Berkaitan:

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!