Pas anggap pertembungan dengan UMNO pertandingan persahabatan

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

MELAKA - Pas menyifatkan pertembungan calon mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan UMNO sebagai pertandingan persahabatan.

Timbalan Presidennya, Idris Ahmad berkata, hubungan kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional juga tidak terjejas.

"Muafakat Nasional masih wujud, kita tetap nak mendamaikan supaya kekal perpaduan dalam kalangan kita dan pertandingan dalam PRN ini kita anggap sebagai persahabatan," katanya pada sidang akhbar bersama calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin pada Rabu.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Pas tetap dengan pendirian berperanan sebagai pendamai ummah termasuk hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ia ekoran wujud persepsi Pas hanya mengambil kesempatan mengejar jawatan apabila menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

"Persepsi ini kita tidak dapat nak elak, dalam zaman media sosial, itu menjadi kebiasaan jadi kita kena terima. Yang penting kita tunjukkan sikap mahu satukan dalam kalangan kita semua," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, semua pihak perlu menerima hakikat pentingnya penetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Melaka.

"Mungkin SOP seperti ini akan berterusan untuk Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebab kita akan hidup dalam suasana Covid-19, maka kita terima hakikat dan patuh pada apa yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian mengulas desakan yang wujud daripada parti lain yang bertanding mahu SPR memberi kelonggaran SOP untuk calon turun berkempen mendekati pengundi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!