Penjaja buntu diarah robohkan gerai
MELAKA - Penjaja-penjaja di Jalan Utama, Taman Cheng Perdana, di sini resah dan buntu apabila menerima notis untuk merobohkan gerai mereka sejak bulan lalu.
Lebih menyedihkan, ada di antara mereka telah lebih 15 tahun berniaga makanan di kawasan itu sebelum diminta merobohkan gerai oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melalui notis sebulan yang diberikan.
Warga emas yang juga peniaga nasi lemak Ramlah Salleh, 63, berkata, sebelum ini dia pernah memohon lesen perniagaan, namun gagal dan terkejut bila menerima notis pada 22 Oktober lalu dan diberi masa sebulan untuk merobohkan gerai.
Menurutnya, sebagai penjaja yang berniaga awal di kawasan itu sejak lebih 15 tahun lalu dia sedih kerana hanya dengan menjual nasi lemak dapat meringankan beban keluarga ditambah pula dalam keadaan pandemik Covid-19.
"Saya tak tahu nak mengadu kepada siapa, bila diminta robohkan gerai mana lagi saya nak mencari rezeki.
"Lagipun kawasan ini strategik dan kami dah ada pelanggan tetap, jika dirobohkan mana saya nak berniaga," katanya di sini pada Rabu.
Penjual sarapan, Safiah Din, 57, berkata, dia telah 10 tahun berniaga dan sejak menerima notis itu dia bimbang akan kehilangan punca pendapatan.
"Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami di sini, lagipun lokasi kami tidak mengganggu lalu lintas, di mana lagi kami nak pergi selepas ini.
"Sekiranya terpaksa berpindah juga, janganlah pindahkan kami di kawasan jauh, sini orang dah kenal dan tahu tempat ini," katanya.
Penjual nasi lemak kukus, Noresma Manap, 47, berkata, mereka baru nak bernafas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun dikejutkan dengan notis itu.
Menurutnya, apa yang diharapkan dikekalkan lokasi sedia ada memandangkan depan dan di belakang kedai mempunyai ruang untuk pelanggan memberhentikan kenderaan.
"Jika mereka pindahkan kami di tempat yang tiada pelanggan, bagaimana kami nak raih pendapatan dan harap tolonglah kekalkan tempat ini.
"Lagipun ketua menteri sebelum ini membenarkan rakyat berniaga dalam tempoh pandemik, malangnya notis roboh gerai yang kami dapat," katanya yang telah mendapat lesen perniagaan.
Peniaga, Sulaiman Zulkupli, 51, berkata, dia baru beberapa bulan menaik taraf gerainya dengan kos RM5,000, namun diminta untuk mengosongkan tempat itu.
"Harap berilah kami peluang berniaga di sini, kami bukan orang senang dan saya pun baru Februari lalu menukar atap dan sebagainya," katanya.
Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang juga calon muka baharu, Datuk Rais Yassin memberi jaminan untuk membela nasib penjaja kawasan berkenaan.
Menurutnya, dalam keadaan ramai rakyat terkesan akibat pandemik sewajarnya mereka diberikan peluang untuk memperoleh pendapatan sendiri dengan berniaga.
"Janganlah minta mereka berpindah, mereka dah berniaga lama, saya rasa kasihan masalah ini bukan sahaja terjadi di sini, bahkan di tempat- tempat lain.
"Sepatutnya pihak berkenaan membuat penyelarasan di tempat ini dengan membina struktur gerai yang sama," katanya.
Rais berkata, sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berhasrat untuk mewujudkan 'uptown' bagi memberi peluang kepada anak muda dan sesiapa sahaja untuk berniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!