Cabar dedahkan Exco terlibat
Sekiranya benar terdapat usaha undi tak percaya kepada MB Perak
Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, perkara berkenaan adalah polemik politik yang ditimbulkan bertujuan mewujudkan rasa tidak selesa atau kurang senang dalam kalangan rakyat.
Malah, katanya, perkara berkenaan dilihat sebagai cubaan mengalihkan isu melibatkan Presiden Umno serta ahli tertinggi parti berkenaan yang dalam dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
"Setiap kali Sidang Dun, pasti isu ini berbangkit. Kalau benar nyatakan secara berdepan siapakah Exconya, kita nak tengok keberanian mereka. "Bagaimanapun, kami tetap berikan tumpuan kepada agenda dan tumpuannya adalah kepada pembentangan belanjawan PHPerak 2019," katanya pada sidang media, semalam.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How; Ketua Pemuda Sosialis (Dapsy), Steven Chow; Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifky dan Ketua Armada Bersatu, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.
Hasnul Zulkarnain berkata demikian mengulas kenyataan ketua pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad pada perhimpunan Umno negeri di Sungai Siput, kelmarin.
Pada perhimpunan berkenaan, Saarani mengatakan terdapat cubaan daripada beberapa Exco Kerajaan Negeri menghubungi beberapa Adun pembangkang untuk berpakat membuat usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain berkata, insiden 'rompakan Kerajaan Negeri' seperti dilakukan BN pada 2009 lalu, tidak akan berulang kerana Kerajaan Perak kini mendapat sokongan rakyat.
Malah, katanya, PH Perak turut menjunjung kedaulatan Dewan Negeri terutama apabila Sultan Perak berkenan mencemar duli dengan melantik Menteri Besar termasuk pelantikan Exco Kerajaan Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!