SMK Jelawat PPS pertama dibuka di Kelantan
BACHOK - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) pertama yang di buka bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini.
Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, seramai 22 mangsa dari empat buah keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 14 kanak-kanak turut ditempatkan di SMK Jelawat.
PPS berkenaan mula diaktifkan jam 11.24 malam pada Rabu malam susulan hujan lebat sepanjang hari bermula Selasa.
Sementara itu, beberapa sungai utama merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong pada bacaan 41.12 meter (m); Sungai Lebir di Tualang (37.59 m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (29.04 m) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (18.89 m).
Sungai Kelantan di Tambatan Diraja berada pada paras 5.67 m; Sungai Golok di Jenob (25.64 m); Sungai Golok di Rantau Panjang (10.78 m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu (3.30 m).