70 pemandu trak bawa bantuan kemanusiaan PBB ditahan di Ethiopia

Berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik Tigray. - Foto Reuters
Berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik Tigray. - Foto Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Ethiopia menahan sekurang-kurangnya 70 pemandu trak yang membawa bantuan kemanusiaan bagi pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, kata jurucakap PBB pada Isnin.

Menurut Agensi Anadolu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric pada sidang akhbar harian berkata, sembilan petugas bantuan PBB masih ditahan oleh kerajaan Ethiopia.

“Kami menyeru agar mereka dibebaskan,” katanya.

Pada Selasa, Dujarric berkata, 16 kakitangan warga tempatan PBB ditahan di Ethiopia, manakala enam yang lain dibebaskan dan PBB sedang “berusaha secara aktif” dengan kerajaan untuk pembebasan segera mereka.

Tiada penjelasan diberikan kepada badan antarabangsa itu akan penahanan mereka, kata Dujarric.

Ethiopia mengisytiharkan keadaan darurat minggu lalu apabila Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) memperoleh kuasa ketenteraan di wilayah Amhara, bersebelahan dengan wilayah Tigray.

TPLF berkata, ia menguasai bandar strategik Disi dan Kombolcha di negeri utara Amhara.

Menurut PBB, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik Tigray dan PBB memberi amaran akan kemungkinan bencana kemanusiaan berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!