MPN cadang sempadan negara dibuka awal tahun depan

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) sebelum mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan pada Khamis. - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) sebelum mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sempadan negara dicadangkan supaya dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan.

"Sektor pelancongan negara menyaksikan pemulihan perlahan kerana ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki Malaysia selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurutnya, sektor pelancongan memerlukan pemulihan segera selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Negara pula akan mengalami kerugian lebih RM90 bilion jika sektor itu terus ditutup," katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, sempadan negara boleh dibuka dengan kaedah atau langkah-langkah pematuhan tertentu yang difikirkan wajar dan perlu selain keutamaan boleh diberikan kepada negara yang telah mencapai kadar vaksinasi tinggi.

"Malaysia mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi dan antara terbaik di dunia. Jadi faedah yang sepatutnya kita raih ialah membenarkan pelancong masuk ke sempadan tetapi perlu sentiasa berjaga-jaga," katanya.

Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera mengumumkan negara lain yang telah dikenalpasti bagi tujuan kerjasama laluan khas atau koridor perjalanan.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa Covid-19 mungkin sudah mengenal pasti negara yang dibenarkan masuk ke negara kita dan patut diumumkan," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin mengalu-alukan persetujuan dicapai Malaysia-Indonesia hasil pertemuan Ismail Sabri bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo bagi membuka sempadan kedua-dua negara tidak lama lagi.

"Ini merupakan satu tindakan yang wajar dan memberi manfaat kepada Malaysia dalam sektor pekerjaan membabitkan perladangan dan lain-lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!