Insiden kepala air: Tiada pembalakan di Bukit Wang
ALOR SETAR - Tiada aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Lipur Bukit Wang di sini, yang mengakibatkan fenomena kepala air hingga menyebabkan dua pengunjung terperangkap di kawasan peranginan itu pada Selasa.
Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menolak dakwaan kejadian fenomena kepala air di kawasan peranginan disebabkan pembalakan.
Menurutnya, kejadian kepala air terbabit tidak ada kaitan dengan isu pembalakan memandangkan tiada aktiviti berkenaan di kawasan tersebut sebaliknya fenomena ini disebabkan kadar hujan yang tinggi.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua pengunjung lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 tahun terperangkap dalam kejadian kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang di sini pada petang Selasa lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebanyak 18 lokasi membabitkan lapan daerah di Kedah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berlaku insiden kepala air pada musim tengkujuh.
Menurutnya, antara lokasi itu termasuklah Hutan Lipur Bukit Wang di Jitra; Titi Hayun dan Air Terjun Batu Hampar di Yan serta Kawasan Rekreasi Tupah di Kuala Muda; Kulim (Air Terjun Junjung, Kuala Sedim), Langkawi (Air Terjun Temurun, Hutan Lipur Lubuk Semeliang dan Telaga Tujuh,); Kuala Nerang (Puncak Janing dan Sungai Empangan Pedu) dan Sik (Lata Mengkuang dan Lata Perangin).
"Selebihnya adalah di Baling (Bukit Hijau, Lata Bayu, Lata Celak Iboi dan Sungai Ketil) serta Air Terjun Ulu Paip di daerah Kulim," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Hutan Lipur Bukit Wang di sini pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!