Takiyuddin tidak hadir Parlimen, disahkan positif Covid-19

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Khamis dimaklumkan bahawa Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, positif Covid-19.

Perkara itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika bangkit untuk menjawab soalan yang ditujukan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Terdahulu, Wan Junaidi meminta izin kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon untuk menjawab soalan yang dibangkitkan Che Alias ​​Hamid (PN-Kemaman) berhubung usaha kerajaan bagi memastikan Harimau Malaya, yang menjadi spesies ikonik negara, tidak pupus.

"Minta maaf Datuk Yang di-Pertua, saya mewakili menteri oleh kerana menteri masih terkena penyakit Covid-19, saya dimaklumkan.

"Saya akan mengambil alih tugasan untuk menjawab perkara yang amat penting ini pada pagi ini, mohon diizinkan," katanya.

Namun, setakat ini Astro AWANI masih belum mempunyai maklumat lanjut termasuk tarikh Takiyuddin mulai disahkan positif dan senarai ahli Parlimen yang mempunyai kontak rapat dengan beliau.

Pada 14 September lalu, Takiyuddin mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah setelah disahkan sebagai kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

Katanya, hasil dua ujian RT-PCR yang dilaksanakan pada 10 dan 13 September adalah negatif tetapi beliau masih perlu menjalani kuarantin kendiri sehingga 20 September.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan itu, saya tidak dapat menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 dan Persidangan Dewan Rakyat sepanjang minggu ini serta tidak dapat menjalankan tugasan rasmi secara fizikal," katanya ketika itu. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!