Rumah, tiga motosikal musnah terbakar

Kebakaran di rumah milik Rusman yang juga menyebabkan tiga buah motosikal miliknya turut musnah.
Kebakaran di rumah milik Rusman yang juga menyebabkan tiga buah motosikal miliknya turut musnah.
A
A
A

TEMERLOH - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Temerloh Makmur di sini musnah dalam kejadian kebakaran pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.27 tengah malam itu, tiga buah motosikal milik keluarga tersebut turut musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemilik kediaman terbabit, Rusman Abd Aziz, 50, bersama isterinya, Norlia Ali, 51, dan seorang anak perempuannya berusia 20 tahun kini terpaksa menginap di rumah inap desa buat sementara waktu sebelum mendapatkan rumah sewa lain.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur.

"Kami bergerak ke Kuala Lumpur pada Sabtu untuk menghantar anak lelaki berusia 19 tahun ke asrama.

"Saya mendapat panggilan daripada jiran pada tengah malam pada Ahad mengenai kebakaran tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengakui sedih dengan kejadian itu, dia yang membeli rumah tersebut pada 1999 kini kehilangan kediaman yang banyak memberikan makna buat mereka sekeluarga.

"Syukur kerana kejadian ini tidak membabitkan sebarang nyawa walaupun barangan lain seperti perabot serta dokumen penting musnah dalam kebakaran tersebut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rusman yang bekerja sendiri manakala isterinya seorang tukang cuci menghargai usaha dan bantuan pelbagai pihak yang disalurkan kepada mereka selepas kejadian tersebut.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (06028024678384) atas nama Rusman Bin Abd Aziz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!