Ambil pengajaran tragedi kelar leher ibu: Polis

Razarudin pada sidang akhbar di IPK Johor pada Khamis.
Razarudin pada sidang akhbar di IPK Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tragedi seorang anak tergamak mengelar leher ibunya selepas berlaku pertengkaran antara mereka di Kampung Batu 5, Gurun, Kedah pada Rabu menunjukkan betapa seriusnya isu dadah di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada tragedi tersebut yang menunjukkan bahayanya dadah sehingga boleh membunuh.

"Tengoklah apa yang telah berlaku di Kedah. Disebabkan dadah sampai sanggup kelar leher ibu, kemudian lari dan maut digilis lori.

"Kita dapat lihat kesan buruk akibat dadah yang perlu diuar-uarkan supaya anak bangsa kita tidak sesekali terjerumus mengambil najis dadah ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu maut dipercayai dikelar anak lelakinya sebelum suspek ditemukan meninggal dunia akibat digilis sebuah lori dalam kejadian di Batu 5, Jalan Jeniang-Gurun, kira-kira jam 7 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia lingkungan 70-an, ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kelar di leher selain kecederaan di tangan kanan dan telinga kiri dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Menurut Adzli, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah, namun polis turut menemui beberapa peralatan menghisap dadah dalam rumah terbabit.

Semakan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut digilis lori selepas kelar leher ibu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!