Johor harap laluan darat, udara VTL dibuka serentak 29 November ini
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor berharap perhubungan darat Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia-Singapura menerusi Tambak Johor dan Laluan Kedua (Linkedua) di sini, dapat dibuka serentak dengan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula pada 29 November ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama kerajaan Persekutuan memandangkan lebih 300,000 penduduk Johor perlu berulang-alik ke republik berkenaan atas urusan kerja.
"Kerajaan negeri telah menggambarkan kepada kerajaan (Persekutuan) supaya pengumuman tarikh bermula VTL (jika boleh) dapat disekalikan dengan laluan darat. Mungkin jumlah (individu) yang keluar masuk tidaklah seperti mana yang diharapkan iaitu antara 200 hingga 500 sehari pun sudah memadai untuk kita mulakan.
"Pembukaan itu juga perlu dipastikan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui bersama kedua-dua negara yang akhirnya membolehkan mereka berulang-alik setiap hari... itu yang kita harapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam bersama pengamal media Johor bersempena Majlis Apresiasi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 2021 di sini, pada Rabu.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan pelaksanaan VTL bermula 29 November ini.
Mengulas selanjutnya, Hasni berkata, perjalanan darat antara Johor dan Singapura juga memerlukan pembinaan Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) yang dibina di Linkedua sepertimana dinyatakan dalam Bajet 2022.
Malah, beliau berkata, terdapat keperluan untuk membina satu lagi BTC di Tambak Johor yang mana kerajaan negeri telah bersetuju untuk menampung sebahagian daripada kos pembinaan tersebut.
"Kita menganggarkan pembinaan BTC tersebut tidak sukar kerana akan menjadi lokasi bagi ujian saringan Covid-19 dan rehat untuk pengguna sebelum meneruskan perjalanan. Kita menjangkakan kira-kira 100 orang menggunakan kemudahan itu pada satu-satu masa,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya penggunaan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api bagi laluan darat VTL yang boleh dijalankan secara teratur berbanding kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, yakin Johor mampu mencapai kadar pertumbuhan antara 5.0 peratus hingga 7.0 peratus pada tahun hadapan.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pertemuan dengan beberapa duta asing seperti Jepun, Jerman, Finland dan Perancis yang telah menyatakan komitmen untuk meneruskan pelaburan di negeri itu.
"Ketika ini, kita masih tidak tahu sama ada Covid-19 akan berakhir dalam tempoh terdekat atau tidak berikutan turun naik kes-kes baharu. Namun kita berpegang kepada prinsip bahawa pelaburan sedia ada perlu dikekalkan yang secara tidak langsung dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Menurut Hasni, selain pelaburan asing, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap golongan pelabur, pengusaha industri kecil dan sederhana, golongan yang menganggur dan mereka yang memerlukan.
"Kita yakin dapat memulihkan semula sektor ekonomi dan membantu rakyat kerana kesukaran dihadapi mereka ketika ini bukan bersifat kekal. Kita juga komited dan akan berusaha mengambil langkah yang perlu bagi membantu rakyat yang terjejas," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Johor akan turut memberi perhatian terhadap isu pengangguran khususnya kalangan individu yang kehilangan kerja dalam tempoh pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!