Mujur ada jiran membantu
SEREMBAN - Tindakan pantas jiran berjaya menyelamatkan remaja lelaki berusia 16 tahun daripada rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Serting Hulu di sini, hari ini.
Ketika kejadian jam 11.59 pagi itu berlaku, mangsa tinggal seorang diri, manakala kedua ibu bapanya pergi bekerja.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol, Mohamad Murtaza Amry berkata, kejadian itu disedari oleh jiran mangsa sebaik terdengar bunyi letupan.
"Dia yang bimbang ada penghuni di rumah itu telah pergi meninjau kebakaran berlaku sebelum bertindak masuk ikut bahagian dapur sebaik menyedari ada orang meminta tolong.
"Sebaik berjaya membawa keluar mangsa, dia segera menghubungi bomba untuk dapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, dua jentera dari Seri Jempol dan Simpang Pertang dengan kekuatan 16 anggota ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik sampai, api telah marak dan telah membakar hampir keseluruhan rumah separuh kekal itu.
"Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 12.35 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
"Punca dan kos kerugian ditanggung pemilik rumah masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!