ASEAN harus kekal sebagai pemain strategik: Hishammudin

Hishammuddin Tun Husein
Hishammuddin Tun Husein
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN harus kekal selaku pemain strategik sebagai satu blok dalam landskap geopolitik yang sentiasa berubah berdasarkan perkongsian baharu antara negara yang berkuasa dan berpengaruh, kata Menteri Pertahanan Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ini hanya boleh dicapai apabila semua negara terus berkomunikasi dan bekerja sebagai sebuah blok bersatu, dan sebagai negara kecil, kita harus bergabung dengan mereka yang berkongsi nilai yang sama iaitu berupaya untuk mempertahankan dan mempromosikan ASEAN Centrality, kepentingan rantau ini dengan pihak luar.

“Seperti yang kita tahu, perjanjian keselamatan baharu seperti AUKUS (perjanjian keselamatan tiga pihak antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) telah diumumkan, bersama-sama dengan perjanjian keselamatan sebelumnya seperti QUAD yang diwujudkan semula - kedua-duanya dengan visi bersama untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

“Ia kini lebih penting daripada sebelumnya bagi ASEAN untuk bersatu dalam masa yang sukar ini. Walaupun menghadapi cabaran, ASEAN kekal antara kerjasama serantau yang paling berjaya di dunia, tetapi perkembangan baharu memerlukan kita untuk bekerja lebih keras, kerana peluang untuk memisahkan kita terus meningkat,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang diadakan secara maya pada Rabu.

Beliau menegaskan rakan sejawatnya sebagai blok 10 negara, mereka mesti mengemudi platform ADMM agar bersedia menghadapi landskap pertahanan dan keselamatan baharu dunia.

“ASEAN mesti sentiasa menjadi pengaruh yang menstabilkan di rantau ini kerana ia menyediakan platform yang diperlukan untuk menggalakkan keyakinan, meningkatkan keupayaan dan pencegahan konflik melalui penganjuran dialog dan kerjasama praktikal,” katanya.

Sementara itu, semasa Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Australia yang turut disertai Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton, Hishammuddin berkata, ASEAN menghargai usaha berterusan Australia dalam melibatkan negara-negara ASEAN bagi memastikan AUKUS tidak menjejaskan kerjasama pertahanan serantau diterajui ASEAN seperti ADMM-Plus, serta langkah keselamatan yang dilaksanakan dalam penggunaan kapal selam nuklear.

“Kami mengalu-alukan Australia, bersama ahli AUKUS yang lain untuk memaklumkan perkembangan mengenai perkembangan perjanjian itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin berkata, sejak kebelakangan ini, dapat dilihat bahawa keseimbangan kuasa di rantau ini menjadi semakin kompleks, sambil menambah Malaysia akan terus menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di seluruh rantau ini.

“Kami mahu memupuk hubungan baik dengan semua orang dan komited untuk secara kolektif mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini secara inklusif. Kami tidak mahu diheret ke dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar,” katanya.

Hishammuddin juga berkata, Malaysia berharap kerjasama pertahanan ASEAN-Australia yang lebih kukuh dan mengalu-alukan penglibatan berterusan seperti melalui mesyuarat tidak rasmi itu.

Dalam sesi lain, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Korea Selatan yang turut disertai Menteri Pertahanan Korea Selatan, Suh Wook, Hishammuddin berkata, mesyuarat itu memberi peluang kepada ASEAN dan Korea Selatan untuk meneroka bidang kerjasama pertahanan yang berpotensi.

“Saya tidak sangsi bahawa banyak kerjasama di bawah ADMM-Plus seperti latihan dan pertukaran dalam bidang memerangi keganasan dan pertahanan siber telah meningkatkan profesionalisme dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Bidang lain yang berpotensi yang boleh diterokai antara ASEAN dan Republik Korea adalah dalam industri pertahanan, sains pertahanan dan teknologi,” katanya.

Beliau menambah Malaysia mengiktiraf kepakaran Korea Selatan dalam bidang tersebut dan percaya mereka boleh belajar daripada pengalaman serta kepakaran masing-masing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!