Lawatan PM ke Indonesia buka lembaran baharu hubungan dua hala
BANDUNG - Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ke Indonesia bukan sahaja membuka laluan perjalanan antara kedua-dua negara tetapi juga lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang bermula hampir 65 tahun lalu.
Kunjungan itu menyaksikan beberapa kejayaan khasnya pelaksanaan koridor perjalanan antara kedua-dua negara selepas hampir dua tahun perjalanan merentasi sempadan tidak dibenarkan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.
Ismail Sabri juga memberi jaminan kepada mereka di Indonesia yang khuatir dengan kehadiran varian Delta Plus di Malaysia bahawa negara mempunyai kadar vaksinasi dan standard pencegahan jangkitan Covid-19 yang tinggi untuk memastikan koridor perjalanan dengan Indonesia berjalan lancar.
Pengumuman Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane oleh Ismail Sabri dalam sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor pada Rabu jelas menggembirakan semua pihak, dengan rakyat Malaysia di Jakarta menyatakan kegembiraan kerana berpeluang kembali ke tanah air.
Selain itu, satu lagi hasil lawatan beliau adalah pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) di antara Malaysia dan Indonesia masing-masing mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan serta kerjasama dan bantuan bersama dalam perkara berkaitan kastam.
Sektor swasta Malaysia pula terus meningkatkan pelaburan di Indonesia antaranya dalam hartanah dan sektor pengangkutan melalui lima MoU dan perjanjian bernilai AS$3.1 bilion yang dimeterai semasa lawatan perdana menteri itu.
Ismail Sabri turut menggunakan kesempatan lawatan itu untuk memohon kerajaan Indonesia melibatkan usahawan Malaysia dalam rancangan pembangunan ibu kota baharunya di Kalimantan.
Selain itu beliau turut meluangkan masa bertemu ketua-ketua editor dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) untuk mengeratkan lagi hubungan selain memupuk persefahaman lebih baik antara kedua-dua negara.
Agensi berita rasmi Malaysia Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional ANTARA di Indonesia turut menandatangani MoU untuk mempertingkatkan perkongsian berita dan maklumat menerusi pelbagai platform media.
Usaha juga diambil untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan termasuk melalui penyenaraian bersama ke UNESCO beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama.
Ismail Sabri juga memberi jaminan kepada presiden negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi yang Malaysia akan terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Lawatan itu juga memberi kesempatan kepada kedua-dua pemimpin untuk berbincang mengenai isu-isu serantau, antaranya isu Rohingya dan Myanmar, serta Laut China Selatan.
Beliau turut mempelawa Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Jokowi sudah dua kali mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden.
Lawatan rasmi tiga hari berkenaan merupakan lawatan pertamanya ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021, atas undangan Presiden Jokowi.
"Saya sangat berpuas hati dengan lawatan saya ke Indonesia. Bermula di Jakarta, pertemuan empat mata dengan Bapak Jokowi. Banyak isu tertunggak dapat diselesaikan,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil lawatannya semasa melawat fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersil Indonesia milik PT Pindad, di sini pada Khamis yang merupakan atur cara terakhir lawatannya.
Dalam lawatan ini beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!