Harimau Malaya mungkin terpaksa lupakan aksi bertemu Timor Leste

Tan Cheng Hoe - Foto FB FAM
Tan Cheng Hoe - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk berdepan Timor Leste dalam satu perlawanan pemanas badan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 (Piala AFF 2020) yang dijadualkan bermula pada 5 Disember ini di Singapura.

Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe berkata, kesuntukan masa berikutan jadual ketat Piala Malaysia 2021, dengan perlawanan akhir pada 30 November ini adalah faktor utama mengapa perlawanan pemanas badan menentang Timor Leste tidak mungkin dapat diadakan.

“Selaku jurulatih, kami memerlukan satu perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya sebarang kejohanan tetapi saya tidak nampak kami akan melakukannya kerana jadual ketat Piala Malaysia 2021,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, ketibaan Malaysia ke Singapura pada 3 Disember sebelum perlawanan pertama Kumpulan B menentang Kemboja 6 Disember ini menyukarkan mereka untuk mengatur perlawanan pemanas badan menentang Timor Leste itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan aksi pemanas badan itu mungkin boleh berlaku sekiranya pasukan negara tiba awal ke Singapura pada 1 Disember berbanding tarikh 3 Disember yang ditetapkan penganjur.

Pada Rabu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berusaha untuk memastikan skuad kebangsaan mendapat sekurang-kurangnya satu perlawanan pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala AFF 2020.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dilaporkan berkata, setakat ini pasukan Timor Leste menjadi pilihan utama untuk menguji tahap kemampuan skuad Harimau Malaya bimbingan Cheng Hoe.

Sementara itu, Mohd Yusoff telah mencadangkan kepada Cheng Hoe agar memanggil mana-mana pemain yang tidak terikat dengan sebarang perlawanan Piala Malaysia untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang kejohanan di Singapura selepas aksi suku akhir pertandingan berprestij bola sepak tempatan itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya bincang dengan Cheng Hoe lepas suku akhir mana-mana pemain yang ada kita panggil secepat mungkin untuk beliau sediakan, kemudian kita tambah pemain lain lepas final Piala Malaysia,” katanya.

Pada kempen Piala AFF 2020, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang juga 'kumpulan maut' akan membuka tirai kempen menentang Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Dis) dan dua pertembungan epik menentang Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) untuk meraih slot ke separuh akhir.

Sejak dipertandingkan pada 1996, Malaysia hanya pernah muncul juara sekali iaitu pada 2010 dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!