Terengganu perkenal bot penambang VR, beca kuasa solar tahun depan

Ariffin (kanan) menyampaikan insentif kepada seorang penerima di TD1303 di Kuala Terengganu pada Khamis.
Ariffin (kanan) menyampaikan insentif kepada seorang penerima di TD1303 di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sektor pelancongan Terengganu bakal melalui transformasi ke arah pendigitalan dengan pengenalan perkhidmatan bot penambang menggunakan realiti maya (VR) dan beca berkuasa solar pada tahun depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan dua medium pengangkutan tradisional terus dimartabatkan sejajar dengan kepesatan teknologi serta peredaran masa.

Beliau berkata, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu bagi memastikan pengangkutan tradisi terus relevan dan menjadi pilihan pengunjung.

"Perkhidmatan bot penambang yang makin dipinggirkan di daerah ini akan dinaik taraf termasuk menerusi pendekatan VR bermula tahun depan.

"Dengan kemudahan VR, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman baharu yang menyeronokkan sambil menyusuri sepanjang Sungai Terengganu," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada 66 pengayuh beca dan pengusaha bot penambang di TD1303 di sini pada Khamis.

Selain itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melakukan inovasi beca solar.

"Kita akan memperkenalkan beca berkuasa solar kepada lima pengayuh terpilih.

"Usaha ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada 49 pengayuh selain membuka peluang dan minat terhadap pelapis muda untuk berkecimpung dalam bidang ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan negeri kini giat merancang laluan baharu beca di lokasi tumpuan ramai termasuk di jambatan angkat dan Kampung Budaya selain menetapkan kadar harga seragam bagi setiap laluan untuk membantu pengayuh beca menambah pendapatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!