Tubuh perbadanan khusus tingkat sosioekonomi orang asli
KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta menubuhkan satu perbadanan khusus bagi pembangunan masyarakat orang asli dalam usaha meningkatkan kebajikan dan taraf sosioekonomi mereka di seluruh negara.
Membangkitkan perkara itu semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis, Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) berkata, ia harus berperanan merancang, merangka dasar dan melaksanakan pembangunan ekonomi untuk mereka.
Beliau berkata, kewujudan perbadanan itu dilihat dapat memudah cara rancangan projek atau program pembangunan ekonomi orang asli yang ingin dilaksana tanpa perlu menutup fungsi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Sekarang ini menerusi Jakoa perlu merujuk (projek serta program pembangunan) kepada ibu pejabat (Jakoa) dan banyak prosesnya tetapi dengan adanya perbadanan ini mampu singkatkan proses birokrasi, sekali gus boleh membuat keputusan dengan cepat," katanya.
Ramli yang sering memperjuang hak orang asli berkata, kerajaan seharusnya mengambil maklum perkara itu memandangkan kira-kira 200,000 orang dalam kalangan masyarakat tersebut masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek termasuk pendidikan.
"Menurut laporan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), orang asli di negara ini menghadapi masalah untuk mendapatkan pendidikan berkualiti. Malah di sesetengah tempat, anak-anak orang asli tidak bersekolah langsung dan ada juga tidak tamat sekolah," katanya.
Beliau berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada masalah ini, antaranya kebanyakan masyarakat orang asli tinggal di penempatan yang jauh dari sekolah, tiada kemudahan infrastruktur di kawasan sekitar dan miskin tegar.
"Saya mencadangkan inisiatif supaya masalah pendidikan anak orang asli dapat diselesaikan, antaranya Jakoa perlu mewujudkan unit pengangkutan tersendiri untuk membawa anak orang asli ke sekolah seterusnya menyedia dan menaik taraf jalan perhubungan di kawasan terpencil.
"Dari segi bantuan kelengkapan persekolahan pula, KPM (Kementerian Pendidikan) dengan kerjasama Jakoa disarankan menilai sistem pemantauan pengurusan bantuan dari aspek kualiti, kuantiti serta piawaian bahan di daerah-daerah pedalaman," katanya.
Seramai 131 ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 selama tujuh hari yang bermula pada 1 November lepas.
Penggulungan Bajet 2022 oleh kementerian berkaitan dijadual berlangsung selama empat hari.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!