No Time to Die, aksi finale Daniel Craig sebagai ejen 007
LONDON - 'No Time to Die' yang ditayangkan menerusi perkhidmatan video-on-demand bermula Selasa menjadi filem ke-25 dalam francais James Bond yang bakal menjadi aksi terakhir Daniel Craig sebagai ejen 007.
Menerusi filem risikan popular terbaru yang diarahkan oleh Cary Joji Fukunaga itu, ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Felix Leiter (Jeffrey Wrigth) meminta bantuan Bond (Craig) yang menetap di Jamaica selepas bersara untuk menyertai misi bagi menyelamatkan seorang saintis yang diculik.
Ia turut menampilkan Rami Malek memegang watak Lyutsifer Safin sebagai ‘musuh’ Bond dan Lashana Lynch sebagai Naomi yang ditugaskan sebagai ejen baharu 007.
'No Time to Die' merupakan filem kelima dibintangi Craig yang menyertai Sean Connery, Pierce Brosnan, Timothy Dalton, George Lazenby dan Roger Moore dalam senarai aktor Bond.
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur. Saya terlibat dalam francais James Bond selama hampir 17 tahun. Saya sentiasa mempunyai rancangan tentang penghasilan filem tersebut dan cuba merealisasikannya.
“Filem No Time to Die adalah kemuncak francais James Bond,” ujar aktor berusia 53 tahun itu.
Difahamkan, filem tersebut turut menyediakan pilihan penstriman di platform termasuk Apple, Direct TV, Xfinity, Spectrum, Google Play dan Vudu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!