Alec Baldwin kena saman

Baldwin didakwa melakukan kecuaian sehingga meragut nyawa Hutchins pada bulan lalu. - Foto: Agensi
Baldwin didakwa melakukan kecuaian sehingga meragut nyawa Hutchins pada bulan lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

LOS ANGELES - Aktor Amerika Syarikat (AS), Alec Baldwin berdepan tindakan undang-undang difailkan kru set penggambaran filem bajet rendah berjudul 'Rust' selepas insiden tertembak seorang ahli sinematografi, Halyna Hutchins hingga meragut nyawa pada bulan lalu.

Menurut peguamnya pada Rabu, saman kecuaian itu turut dikemukakan ke atas Hannah Gutierrez-Reed yang bertanggungjawab menyediakan senjata api dan peluru prop tersebut.

Ketua juruteknik pencahayaan, Serge Svetnoy memaklumkan dokumen itu menyatakan kejadian tersebut berpunca daripada tindakan cuai dan kealpaan aktor utama, Baldwin yang juga penerbit filem berkenaan.

“Secara ringkasnya, tidak ada sebab untuk memasukkan peluru hidup dalam revolver.45 Colt tersebut. Ia sememangnya mencetuskan ancaman berbahaya kepada kesemua kru.

“Pembantu pengarah, Dave Halls dan Gutierres-Reed gagal mematuhi peraturan industri perfileman dalam mengendalikan senjata api dengan membiarkan ia diacukan kepada kru sewenang-wenangnya,” ujar kandungan dokumen tersebut yang dikemukakan kepada sebuah mahkamah di Los Angeles.

Sebelum ini, Halls memberitahu penyiasat, dia tidak memeriksa secara teliti senjata tersebut hingga menyebabkan peluru hidup menembusi tubuh Hutchins dan mengenai bahu pengarah, Joel Souza ketika sesi latihan pada 21 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan peguam Gutierrez-Reed, beliau mendakwa anak guamnya mungkin telah disabotaj dan menuntut siasatan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, peguam daerah Santa Fe, Mary Carmack-Altwies menolak dakwaan itu dan menyatakan tiada bukti menunjukkan ia adalah perbuatan khianat.

Artikel Berkaitan:

Ketika tampil dalam rancangan Good Morning America, Carmack-Altwies turut memberitahu. dia mengetahui individu bertanggungjawab memasukkan peluru hidup dalam senjata prop tersebut, namun enggan mengulas lanjut tentang pendedahan itu.

Sebelum ini, Syerif Santa Fe, Adan Mendoza mengesahkan lebih 500 butir campuran peluru tiruan dan beberapa peluru hidup dirampas di set penggambaran tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!