Musim tengkujuh: Harga barang masih stabil

Faris (kiri) sentiasa memastikan harga ikan yang dijual mengikut harga pasaran.
Faris (kiri) sentiasa memastikan harga ikan yang dijual mengikut harga pasaran.
A
A
A

KOTA BHARU - Musim tengkujuh sejak awal bulan ini tidak menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan terutama barangan basah di Kelantan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini pada Khamis mendapati pengguna masih dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga biasa, malah tiada pembelian panik berlaku.

Rata-rata peniaga juga menjalankan aktiviti jualan seperti biasa tanpa menaikkan harga terutama barangan basah berasaskan makanan laut.

Seorang peniaga makanan laut, Rosni Shamsuddin, 45, berkata, dia berniaga di pasar terbabit sejak lebih 20 tahun lalu.

Rosni (kanan) menjual udang sangkar yang dipelihara pengusaha dari seluruh negeri ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
Rosni (kanan) menjual udang sangkar yang dipelihara pengusaha dari seluruh negeri ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.

Menurutnya, harga yang diletakkan adalah sama tanpa mengira musim.

"Saya berniaga sama saja, sejak dulu sampai sekarang. Saya menjual mengikut harga pasaran. Tiada isu kenaikan harga. Tanpa kira musim, perayaan atau musim tengkujuh, harga tidak jauh berbeza," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Perkara sama turut diakui seorang peniaga, Mohd Faris Norsham, 28, yang memaklumkan bahawa dia menjual ikan mengikut harga pasaran semasa.

Malah, katanya, udang yang dijualnya juga dipelihara sendiri, justeru tidak perlu menaikkan harganya.

Ikan kering yang dijual Nik Azmi (kanan) di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa sering mendapat permintaan ramai di musim tengkujuh.
Ikan kering yang dijual Nik Azmi (kanan) di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa sering mendapat permintaan ramai di musim tengkujuh.

"Biasanya harga ikan saja memberi kesan disebabkan nelayan tidak turun ke laut. Itu pun tiada masalah kerana masih tidak mahal dan masih standard. Kita berharap harga tidak naik, nanti susah pula orang ramai tambahan pula golongan B40," katanya.

Peniaga pelbagai jenis ikan kering, Nik Azmi Raja Daud, 48, berkata, ikan keringnya juga menjadi tarikan ramai terutama musim tengkujuh yang kini mula melanda negeri ini.

Menurutnya, ikan berkenaan dijual dengan harga RM12 hingga RM40 sekilogram, tambahan pula ikan pari yang kini menjadi pilihan ramai turut dilakukan proses pengeringan yang sama.

"Buat masa ini ramai yang membeli ikan kering gelama. Rasanya sedap lemak masin dan tiada tulang yang besar serta mudah dimakan. Alhamdulillah, ikan pun saya proses sendiri, saya tidak menaikkan harga," katanya.

Nor Azwani di gerai jualannya di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
Nor Azwani di gerai jualannya di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.

Peniaga barangan kering dan peruncitan, Nor Azwani Ibrahim, 40, juga mengakui tiada peningkatan harga berlaku melibatkan barangan yang dijual di kedainya.

Katanya, budu merupakan antara barang jualan yang laris di musim tengkujuh berbanding sos lain.

Ikan pari kering antara makanan yang menjadi pilihan orang ramai masa kini.
Ikan pari kering antara makanan yang menjadi pilihan orang ramai masa kini.

"Bila tiba musim hujan, ramai beli budu. Mungkin untuk membantu menambah selera di musim tengkujuh. Tambahan pula kita boleh makan dengan ikan-ikan darat yang dijala di sawah padi dan sebagainya. Itu antara budaya rakyat Kelantan di musim hujan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!