Jualan automotif UMW melonjak 64 peratus pada Oktober
KUALA LUMPUR - Jualan automotif bagi Kumpulan UMW melonjak sebanyak 64 peratus kepada 36,358 unit pada Oktober 2021 berbanding 22,193 unit jualan yang dicatatkan pada September 2021.
Ia berikutan kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu Perodua terus menunjukkan pemulihan susulan pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).
“Kumpulan menjangka pemulihan jualan automotif dapat dikekalkan sehingga bulan November dan Disember, disokong oleh pengenalan model baharu dan promosi akhir tahun.
“Kami menghargai keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini, yang mana kami percaya ini akan memacu industri automotif tempatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bulan lepas, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 8,500 unit atau 5.8 peratus lebih tinggi berbanding 8,033 unit yang dicatatkan pada September dengan Toyota Vios terus menjadi antara model terlaris pada Oktober, diikuti oleh model Hilux dan Yaris.
Setakat Oktober 2021, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 54,618 unit, 24.7 peratus lebih tinggi daripada 43,807 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pada Oktober, Perodua berjaya memecahkan rekod jualan bulanan sebanyak 27,858 unit, pemulihan yang memberangsangkan berbanding 14,160 unit yang didaftarkan pada September 2021.
Perodua Myvi merupakan model jualan terbaik bagi bulan itu, diikuti oleh Axia dan Bezza.
Dari segi pengeluaran kenderaan, Oktober juga menunjukkan jumlah pengeluaran kenderaan tertinggi bagi tempoh sebulan dengan 29,803 unit.
Bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 146,951 unit, 14.5 peratus lebih rendah berbanding 171,861 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2020, sebahagian besarnya disebabkan oleh sekatan PKPP dan selebihnya berpunca daripada kekurangan cip semikonduktor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!