Jendela PPR bantu naik taraf hidup warga PPR: Reezal Merican
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (Jendela) Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan membantu meningkatkan taraf hidup warga PPR selain memastikan kehidupan yang lebih lestari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, menerusi pelaksanaan program itu, penduduk akan lebih mudah mendapat capaian internet yang dilihat sebagai keperluan asas masa kini termasuk sebagai platform menjana pendapatan.
"Semasa pandemik, ramai yang terkesan, ada dalam kalangan anak-anak PPR menerima tablet untuk digunakan ketika kelas dalam talian tapi tiada akses Internet.
“Suri rumah yang ingin mencari pendapatan dan berniaga dalam talian juga hadapi masalah sama. Kebanyakan mereka ini datang daripada B40, jika tiada kemudahan ini, kehidupan mereka ternafi dan secara tidak langsung akan memberi lebih kesusahan kepada mereka,” katanya selepas program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Bajet 2022: Tumpuan Khusus Agenda Perumahan’ malam Khamis.
Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lepas, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi kemudahan Internet di 40 PPR sedia ada dan peluasan perkhidmatan 5G kepada 36 peratus di kawasan berkepadatan tinggi.
Reezal Merican berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam melaksanakan program yang dijadual bermula pada hujung bulan ini.
Beliau berkata, selain itu, melalui program ‘MyBeautiful Keluarga Malaysia’, pihaknya akan membuat penambahbaikan terhadap bangunan serta kemudahan fasiliti yang terdapat di PPR dan perumahan strata terpilih.
“Pihak kami akan mengecat semula (bangunan), membaiki bumbung dan yang paling kerap mempunyai masalah adalah lif.
“Sebab itulah yang saya mahu kembalikan, setiap perumahan perlu ada tahap daya huni yang tinggi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!