MEDAC fokus bentuk perniagaan berdaya tahan
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memfokus kepada pembentukan perniagaan lebih berdaya tahan serta mampu mendepani sebarang cabaran pada masa akan datang.
Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad berkata, cabaran dihadapi usahawan ketika penularan Covid-19 adalah antara titik perubahan yang mendekatkan lagi golongan itu dengan manfaat penggunaan teknologi.
"Kita kena tukar penetapan minda usahawan kita hari, kita perlu menyuntik norma baharu ini kepada mereka, mereka mesti bersedia untuk menerima norma baharu ini.
"Sekarang kita telah pun menerima norma baharu ini namun ia perlu dikekalkan kerana kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan," katanya dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk Bangsa Usahawan Aspirasi Keluarga Malaysia terbitan Bernama TV pada Khamis.
Beliau berkata, justeru kerajaan telah mengatur pelbagai inisiatif bagi melengkapi usahawan dengan latihan dan ilmu termasuk pengurusan kewangan selain menarik lebih ramai golongan belia untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya.
"Kita nak membentuk 'bangsa dan negara usahawan' dan daripada program latihan intensif seperti New Gen Entrepreneurship Online Bootcamp (N-GENE), kita mampu melatih dan membimbing belia," katanya.
Inisiatif lain yang diatur untuk membantu usahawan terjejas termasuk Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi, Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan penyediaan tapak trak makanan di kawasan bandar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!