'Saya sayang adik dunia akhirat'
PASIR PUTEH - Walaupun berlainan agama, namun itu bukan penghalang kepada seorang wanita di sini untuk menjaga adiknya yang terlantar sakit akibat kanser tulang dan sakit saraf sejak awal September lalu.
Maziah Tan Abdullah, 58, berkata, sebelum ini, adiknya Tan Kim Choong, 50, terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama tiga minggu.
"Saya tinggal di Kampung Danan, Selising dan terpaksa berulang-alik ke rumah adik di Kampung Ketik Buluh, Cherang Ruku. Kadangkala saya tidur di rumahnya untuk memudahkan saya menguruskan keperluannya.
"Walaupun saya sudah memeluk Islam sejak 38 tahun yang lalu, namun hubungan adik-beradik tetap baik. Saya sayang adik saya dunia dan akhirat," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Maziah sebelum itu menerima kunjungan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) diketuai Pengerusinya, Dr Johari Yap yang menyerahkan sumbangan katil hospital wakaf bagi kegunaan Kim Choong.
Hadir sama, Presiden Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam yang turut menyampaikan sumbangan kerusi roda wakaf, lampin pakai buang dan pek makanan.
Sementara itu, Johari berkata, pihak Macma sangat tersentuh melihat keakraban Maziah yang merupakan ahli Macma Kelantan dalam menjaga kebajikan adiknya dengan penuh kasih sayang walaupun berlainan agama.
"Ini merupakan contoh ajaran Islam yang baik kerana persaudaraan tidak akan putus walaupun berlainan agama, umpama air yang dicincang tidak akan putus.
“Apabila mendapat tahu mengenai Kim Choong yang sakit terlantar dan memerlukan katil hospital, kerusi roda dan lampin pakai buang, Tiong Lam terus membincangkan perkara ini dengan saya dan kami mengambil keputusan untuk menghantar keperluan berkenaan dengan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!