Pentas ulangan final 2014


Harimau Malaya bakal bertemu Thailand pada aksi separuh akhir.
Harimau Malaya bakal bertemu Thailand pada aksi separuh akhir.
A
A
A
Selepas dikecewakan pada pentas akhir Piala AFF Suzuki 2014, Malaysia kembali membuat perhitungan dengan Thailand apabila kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada 1 dan 5 Disember depan.

Malaysia yang menundukkan Myanmar 3-0, Sabtu lalu berada di tangga kedua Kumpulan A, manakala Thailand yang juara bertahan menepati ramalan selepas mudah menewaskan Singapura, 3-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam kelmarin untuk menerajui Kumpulan B.

Pertemuan kedua pasukan ini pastinya menarik dan bakal menjadi perlawanan ulangan final Piala AFF 2014 apabila Malaysia tewas agregat 3-4.

Perlawanan separuh akhir berkenaan akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Thailand pada 1 Disember sebelum aksi separuh akhir kedua di Bangkok, Thailand pada 5 Disember.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook FAM, memaklumkan tiket perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand hanya akan mula dijual pada 29 November ini.

"Disebabkan tiket perlawanan berkenaan dicetak di Bangkok oleh syarikat tiket yang dilantik Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas berakhirnya perlawanan terakhir Kumpulan B.

"Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan berkenaan secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.my.

"Penyokong kemudian boleh menebusnya di kaunter penebusan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan dibuka bermula pada Khamis ini sehingga hari perlawanan pada Sabtu," katanya.

Stuart memaklumkan penjualan tiket secara fizikal perlawanan berkenaan hanya akan bermula pada 29 dan 30 November ini di tiga saluran iaitu kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil, Wisma FAM di Kelana Jaya dan di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports.
Artikel Berkaitan:


"Sekiranya masih ada tiket yang masih belum habis terjual, peminat boleh mendapatkan tiket perlawanan yang akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional pada Sabtu," tegasnya yang turut memaklumkan harga tiket ditetapkan sebanyak RM40, RM30 dan RM5 kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!