PH jamin kembalikan inisiatif Kad Melaka Sihat

AdlY. - Foto fail Bernama
AdlY. - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Calon Ketua Menteri Melaka Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari memberi jaminan untuk mengembalikan insiatif Kad Melaka Sihat yang pernah diperkenalkan PH ketika pemerintahan selama 22 bulan di negeri itu sebelum ini sekiranya gabungan parti itu mendapat semula mandat sebagai kerajaan negeri.

Beliau berkata, peruntukan di bawah inisiatif itu penting untuk rakyat di negeri itu memperoleh khidmat kesihatan terbaik lebih-lebih lagi ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

"Masih ada lagi perkara yang tertangguh melibatkan fokus kita selama 22 bulan sebelum ini melibatkan kesihatan dan pendidikan untuk rakyat, Dulu kita sudah luluskan Kad Peduli Sihat Melaka di mana kita mahu sediakan peruntukan untuk diberikan kepada rakyat supaya mereka mendapat perkidmatan dan rawatan kesihatan yang lebih baik.

"Inisiatif ini tertangguh kerana kerajaan kita tidak dapat bertahan lama kerana mandat telah dikhianati.

"Namun, kita yakin mandat baharu diberikan rakyat Melaka, kita boleh meneruskannya kerana peruntukan itu boleh digunakan untuk memastikan rakyat mendapat rawatan yang terbaik dari segi kesihatan apatah lagi bila kita berdepan dengan Covid-19," katanya menerusi Ceramah Dalam Talian PRN Melaka dipancarkan secara langsung menerusi sebuah Facebook pada Jumaat.

Ketika PH mentadbir kerajaan negeri Melaka, gabungan parti itu mengambil inisiatif memperkenalkan Kad Peduli Sihat yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menerusi kad perlindungan itu, setiap keluarga memperoleh manfaat antara RM300 hingga RM500 setahun untuk mendapatkan pelbagai rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih.

Bagaimanapun manfaat tersebut dihentikan selepas pentadbiran bertukar dengan dana yang dikhaskan bagi program tersebut disalurkan kepada program bantuan lain untuk membantu rakyat yang memerlukan sebelum kerajaan negeri terdahulu merangka pelan manfaat kesihatan lain untuk menggantikannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada ceramah berkenaan, Adly yang bertanding bagi DUN Bukit Katil turut memberi penekanan faktor kestabilan politik yang akan diberi keutamaan oleh PH kelak.

"Aspek penting adalah kestabilan politik, kita harus mewujudkannnya dengan akta anti lompat perlu diperkenalkan demi pastikan mandat diberikan rakyat bukan hanya dijaga oleh kerajaan negeri tetapi juga oleh undang-undang kerana kita tahu asas ekonomi dan pentadbiran negeri banyak ditentukan oleh kestabilan politik peringkat negeri Melaka," katanya.

Penggubalan Enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan negeri Melaka antara inisiatif yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PH yang diumumkan Adly pada Rabu.

Manifesto dinamakan 'Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan' itu turut menggariskan sebanyak 32 inisiatif yang merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!