Agrobank pelbagaikan aliran pendapatan pada 2022

No Image Caption
A
A
A

AGROBANK Bhd akan mempelbagaikan aliran pendapatannya kepada hasil bukan pembiayaan menjelang 2022, kata Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Khadijah Iskandar.

Beliau berkata, bank itu bagaimanapun akan mengekalkan portfolio pembiayaan sebagai penyumbang hasil utamanya sambil terus meningkatkan lebih banyak hasil bukan pembiayaan untuk menjana lebih banyak pendapatan yuran apabila Takaful Pertanian (Crop Takaful) dan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) menjadi kenyataan.

"Kami akan terus menambah lebih banyak hasil bukan pembiayaan untuk menjana lebih banyak pendapatan yuran, pendapatan yuran ini akan meningkat tanpa mengurangkan sumbangan daripada pembiayaan, cuma bahagiannya yang akan menjadi lebih besar," katanya kepada Bernama.

Khadijah memberitahu, berpandukan kepada misi yang diperbaharui untuk 'Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan', Agrobank membangunkan takaful pertanian atau Crop Takaful untuk memastikan kelangsungan hidup penggiat industri termasuk petani, penternak dan nelayan.

Objektifnya adalah untuk menyediakan pilihan perlindungan takaful kepada pencarum yang terjejas akibat bencana, serangan penyakit dan ketidaktentuan cuaca yang menyebabkan penurunan dalam pengeluaran dan menjejaskan pendapatan, katanya.

Sementara itu, Khadijah menjelaskan, ACE juga boleh melonjakkan pendapatan yuran.

Pada masa yang sama membantu melengkapkan usahawan tani dengan kemahiran yang diperlukan melalui pelbagai program latihan dan kursus.

Beberapa program dan kursus termasuk asas pengurusan kewangan perniagaan, asas perancangan perniagaan, pemasaran kos sifar, klinik perniagaan, myfuture agro dan kelas induk dalam talian, antara lain, sebahagiannya melalui kerjasama dengan agensi berkaitan, jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khadijah, Agrobank berpendapat kemajuan program vaksinasi dijangka mempercepatkan pembukaan semula sektor ekonomi.

“Berserta dengan langkah rangsangan kerajaan, pembukaan semula sektor ekonomi diunjur dapat merangsang ekonomi dan ianya amat baik untuk sektor perbankan,” katanya.

Bank itu turut menjangkakan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2022 akan meningkat berbanding tahun kewangan 2021.

Ia mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan dalam sistem perbankan tempatan adalah antara 3.0 dan 4.0 peratus, meningkat kepada 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2022, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

Kementerian Kewangan meramalkan KDNK Malaysia mengukuh antara 5.5 dan 6.5 peratus tahun depan, dipacu oleh peningkatan pesat perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik dan peningkatan beransur-ansur dalam sentimen pengguna dan perniagaan.

“Ekonomi akan bertambah baik pada 2022 walaupun terdapat beberapa ketidakpastian yang akan berlaku. Namun begitu, saya berpendapat agak sukar untuk kita kembali ke tahap sebelum pandemik.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), beberapa cawangan kami atau (malah) jabatan kami di ibu pejabat terpaksa ditutup apabila terdapat kes positif, jadi ia (pandemik) masih akan menjejaskan produktiviti kami tetapi tidak akan seteruk dahulu," katanya.

Khadijah seterusnya menyatakan Agrobank menjangka mencatatkan keuntungan kira-kira RM100 juta, lonjakan ketara daripada RM40 juta yang dicatatkan pada 2020 (2019: RM200 juta).

“Kami berkembang lebih tinggi daripada bank perdagangan. Jika kita lihat kepada aliran pasaran, sektor perbankan tumbuh kira-kira tiga peratus tetapi bagi Agrobank, kami berkembang pada lima peratus.

"Ini boleh dikaitkan dengan industri perikanan dan tanaman, yang sebenarnya bukan 'selera' kebanyakan bank perdagangan," katanya.

Agrobank mengunjurkan pertumbuhan pembiayaannya pada 6.9 peratus tahun ini, sebahagiannya disumbangkan oleh bantuan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Deposit dijangka berkembang sebanyak 6.8 peratus sebahagian besarnya dalam deposit kos rendah, sejajar dengan inisiatif Agrobank untuk mengubah pergantungan daripada deposit kos tinggi kepada pembiayaan deposit yang lebih stabil dan berkos rendah.

Sasaran pertumbuhan pembiayaan bank pada 2021 ialah RM940 juta dan sehingga Ogos 2021, jumlah pembiayaan ialah RM205 juta.

Agrobank ialah institusi kewangan pembangunan (DFI) terkemuka Malaysia untuk pertanian dengan sejarah kukuh hampir setengah abad dalam memangkin sektor pertanian melalui sokongan nasihat kewangan dan perniagaan yang patuh syariah.

Ia menyediakan himpunan penyelesaian pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian, termasuk aktiviti huluan berkaitan makanan utama (primer) dan aktiviti pertanian berasaskan komoditi hingga kepada aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan pengedaran produk pertanian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!