Pulau Pinang benarkan akad nikah secara bersemuka

Bakal pengantin di Pulau Pinang dibenarkan menjalankan akad nikah di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan. - Foto Pejabat Agama Daerah Barat Daya
Bakal pengantin di Pulau Pinang dibenarkan menjalankan akad nikah di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan. - Foto Pejabat Agama Daerah Barat Daya
A
A
A

GEORGETOWN - Bakal pengantin di Pulau Pinang dibenarkan menjalankan akad nikah di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan.

Kebenaran itu dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berkuat kuasa pada Khamis.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, kebenaran itu membolehkan majlis diadakan tidak melebihi 50 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, hanya majlis akad nikah dibenarkan manakala upacara lain seperti menyarung cincin tidak dibenarkan.

"Pasangan yang ingin menikah, mereka boleh mengadakannya di lokasi dibenarkan iaitu Pejabat Agama Daerah, masjid, surau atau premis persendirian.

"Mereka perlu mendapat kebenaran dengan jumlah kehadiran tetamu mengikut ketetapan pihak JHEAIPP. Upacara lain selain daripada akad nikah antaranya membatalkan sembahyang, sarung cincin dan sebagainya tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah kehadiran adalah terhad iaitu lima orang mengikut rukun nikah manakala tetamu untuk majlis akad nikah adalah berpandukan kepada SOP pejabat agama, masjid dan surau.

"Bagi pasangan pengantin yang tidak boleh hadir ke upacara pernikahan (akad nikah) atas faktor kesihatan, mereka boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

Artikel Berkaitan:

"Jamuan majlis kenduri dan resepsi tidak dibenarkan, bagaimanapun aktiviti fotografi hanya dibenarkan semasa majlis pernikahan tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan," ujarnya.

Mohd Zakuan berkata, mereka yang terlibat dengan majlis pernikahan diwajibkan membuat saringan kendiri sebelum akad nikah dilaksanakan.

Beliau berkata, pejabat agama daerah perlu memastikan majlis akad nikah dijalankan dengan mematuhi SOP terkini selain menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

"Selain itu, pejabat agama daerah, masjid dan surau perlu memastikan kaedah keluar dan masuk dari tempat akad nikah adalah selamat dan tanpa risiko jangkitan Covid-19.

"Semua pihak perlu mempraktikkan amalan sanitasi kebersihan yang optimum pada masa majlis akad nikah iaitu mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan terlebih dahulu," katanya.

Tambahnya, hanya mas kahwin dan dokumen-dokumen yang berkaitan dibenarkan berada di dalam ruang majlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!