Kejayaan Brazil cukup bermakna

Sebahagian pemain Brazil meraikan jaringan Paqueta pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
Sebahagian pemain Brazil meraikan jaringan Paqueta pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Brazil, Tite menyifatkan kejayaan Brazil selaku pasukan pertama dari Amerika Selatan yang mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, sebagai satu kejayaan yang cukup bermakna.

Tite berasa kagum dengan aksi mantap dipersembahkan skuad kendaliannya itu ketika menewaskan Colombia 1-0 pada aksi Kelayakan Conmebol di Corinthians Arena pada Jumaat.

“Sebelum perlawanan, saya hanya berpesan kepada pemain untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini kerana hanya kemenangan yang akan mengesahkan slot untuk kita beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2022.

“Ternyata, kesemua pemain telah mengikuti arahan yang diberikan dan mereka benar-benar memberikan aksi terbaik sehingga ke wisel penamat biarpun berdepan tentangan sengit pelawat,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain tengah, Lucas Paqueta muncul wira skuad Selecao itu apabila meledak jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-72.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Brazil mengukukuhkan kedudukan selaku pendahulu bagi aksi kelayakan berkenaan dengan meraih 34 mata daripada 12 perlawanan setakat ini.

Sementara itu Tite turut berbangga kerana berjaya mengemudi Brazil untuk beraksi di Piala Dunia kali ini.

Katanya kejayaan itu sekali gus menjadikan Brazil sebagai antara negara yang tidak pernah ketinggalan untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia sejak ia diperkenalkan pada 1930 lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya cukup berbangga berjaya meneruskan tradisi Brazil beraksi di Piala Dunia.

“Brazil telah muncul juara lima kali Piala Dunia dan kali ini dilihat berpeluang pula untuk meraih gelaran keenam. Segalanya mungkin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!