Berumah dalam kereta selepas tak mampu bayar sewa
KUALA LUMPUR - Sebuah keluarga terpaksa tidur dalam kereta sejak sebulan lalu selepas diusir tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Menerusi kemas kini di Facebook Baitulmal MAIWP, lelaki dikenali sebagai Nizam itu nekad mengambil keputusan tersebut selepas buntu mencari jalan penyelesaian.
Menurut kenyataan itu, keluarga tersebut ditemui di pekarangan sebuah masjid ketika berhenti berehat selain menunaikan solat.
"Nizam hanya mampu menjadikan kereta miliknya sebagai tempat untuk isteri serta anaknya tidur dan berteduh selepas diusir dari rumah sewanya.
"Mereka tidak berada di satu-satu tempat yang tetap tetapi sering bergerak untuk mencari tempat parkir yang selamat untuk mereka bermalam," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, Nizam kehilangan kerja disebabkan pandemik dan menyara keluarga melalui skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Namun mereka mulai bimbang apabila bantuan yang diterima tersebut telah pun ditamatkan.
"Keluarga ini akan diberikan bantuan sara hidup dalam masa terdekat ini," tambah kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, keluarga tersebut juga diminta untuk mencari kediaman yang lebih selesa dan Baitulmal akan membantu membayar deposit dan sewa bulanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!