Ahmad Shahmin tekad rangkul emas di Asian Youth Para Games 2021
ATLET angkat berat orang kurang upaya (OKU), Ahmad Shahmin Mohd Kadri, 19, tekad untuk merangkul pingat emas untuk negara pada penampilan sulungnya di pentas Asian Youth Para Games 2021 yang dijadual berlangsung di Manama, Bahrain pada 28 November hingga 7 Disember ini.
Anak kelahiran Kampung Alor Hijau, Selising itu berkata, sasaran itu mampu digapai berpandukan kepada persiapan dan latihan keras yang dilakukan untuk berentap dengan jaguh-jaguh Asia pada kejohanan itu nanti.
"Alhamdulillah, sepanjang sesi latihan yang dilakukan, saya berjaya mengekalkan rekod angkatan 100 kilogram (kg)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, setiap hari Ahad hingga Selasa dia akan menjalani sesi latihan di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Panji dan selebihnya di rumah.
Katanya, pada kejohanan itu nanti dia berazam untuk membuat angkatan lebih daripada 100 kg sekali gus meraih emas untuk negara.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia tekad menghadiahkan pingat emas itu kepada ibu, Faridah Mat Isa, 48, ayah, Mohd Khadri Deraman, 49, dan keluarga serta jurulatih Bukhari Shaari yang menjadi tulang belakang mendukung perjuangan sehingga berjaya mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa.
"Idola saya dalam sukan ini ialah jaguh negara iaitu Jong Yie Khie. Saya mahu berjaya seperti beliau dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya.
Menurutnya, pada kejohanan itu nanti dia akan beraksi untuk kategori 80kg.
Katanya, acara terakhir pernah disertainya adalah Para Games Sukma di Perak sebelum terpaksa berehat panjang sejak tahun lalu apabila pendemik Covid-19 melanda negara.
Sementara itu, Faridah berkata, dia optimis anaknya mampu meraih pingat pada kejohanan tersebut nanti.
"Saya harap dia terus kekal fokus dan memberikan persembahan terbaik seterusnya meraih emas untuk negara.
"Doa saya sentiasa mengiringi Ahmad Shahmin. Saya amat berharap dia akan menjulang nama Malaysia nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!