Ekonomi Malaysia menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga

Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022. - Foto hiasan
Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan 16.1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2021, kata Bank Negara Malaysia.

Penguncupan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada bulan Julai, di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada suku ketiga 2020, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah pada -2.7 peratus.

"Kegiatan ekonomi kemudiannya meningkat apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua dengan beberapa langkah pembendungan telah dilonggarkan," kata Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam taklimat media bersama Bank Negara dan Jabatan Perangkaan untuk mengumumkan prestasi suku ketiga KDNK negara.

Beliau berkata, ekonomi dalam negeri berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3.0 peratus dan 4.0 peratus tahun ini sementara pertumbuhan akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik memandangkan langkah-langkah pembendungan telah dilonggarkan secara berperingkat, di samping sokongan dasar yang berterusan.

Pelbagai pelonggaran sekatan diberikan kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap, termasuk kebenaran untuk perjalanan rentas negeri yang turut merangsang aktiviti berkaitan dengan pelancongan.

Di samping itu, permintaan global yang kukuh akan terus menyokong pertumbuhan eksport, katanya.

Sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3 peratus dan diunjurkan dalam julat antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0 peratus pada tahun 2021. Pada tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana.

"Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

"Bagaimanapun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," jelas beliau.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan penguncupan dengan sektor pembinaan mencatatkan penguncupan terbesar disebabkan oleh kapasiti operasi yang terhad.

Nor Shamsiah berkata, dari segi perbelanjaan, permintaan dalam negeri terjejas dan menurun sebanyak 4.1 peratus (S2 2021: +12.4 peratus), disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta dan aktiviti pelaburan.

Namun begitu, perbelanjaan penggunaan sektor awam yang terus meningkat telah memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

“Pelonggaran langkah-langkah pembendungan secara berperingkat dan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik akan menjadi faktor penting bagi menyokong pemulihan pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai Inflasi keseluruhan pula, bank pusat menjangkakan ia menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku ketiga (S2 2021: 4.1 peratus) dan ini disebabkan terutamanya oleh luputnya kesan asas daripada harga bahan api dan pelaksanaan diskaun bil elektrik selama tiga bulan.

Inflasi teras kekal pada 0.7 peratus pada suku tersebut (S2 2021: 0.7 peratus).

Ringgit pula, katanya telah menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga tahun 2021.

Penyusutan ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan AS bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir tahun 2021.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9 peratus (S2 2021: 4.4 peratus), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (2.9 peratus; S2 2021: 3.6 peratus) dan bon korporat terkumpul (6.5 peratus; S2 2021: 6.9 peratus).

"Sementara itu, menjelang tahun 2022, trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi, pasaran pekerja yang terus bertambah baik, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luaran.

"Kemajuan dan keberkesanan pemberian vaksin, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta keupayaan untuk membendung penularan pandemik dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu Covid-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci penting kepada pemulihan yang dihasratkan,” tambah gabenor. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!