Ucapan Nga Kor Ming berniat jahat: Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang melabelkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai Taliban adalah berniat jahat.

Jelas Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi, serangan yang cuba dilakukan pemimpin berkenaan turut memperlihatkan bahawa DAP cuba untuk mencipta persepsi jahat terhadap penyatuan kuasa politik Islam.

"Puluhan tahun Kelantan di tadbir oleh Pas adakah Kelantan seperti Taliban, Afghanistan? Rakyat Kelantan hidup aman dan damai. Namun, baru 10 bulan memerintah DAP tersangat ekstrem berpolitik, cuba merungkaikan banyak asas-asas perlembagaan melibatkan hak Islam dan Melayu yang boleh menimbulkan pertembungan kaum.

"Apa yang pasti, DAP sangat takut terhadap penyatuan politik di atas nama Islam Melayu kerana bakal merobohkan tembok kuasa yang sedang mereka kecapi sejak 10 bulan lalu,"katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, Pas juga sudah sebati dengan permainan persepsi yang sememangnya menjadi darah daging DAP dalam berpolitik.

Terdahulu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Katanya lagi, rakyat akan menderita apabila UMNO dan Pas membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik.

Susulan kenyataan itu juga, Kor Ming dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas jadi Taliban itu fitnah lama: Nik Abduh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!