Bunyi letupan kuat, lelaki selamatkan nyawa ahli keluarga

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Bunyi letupan kuat mengejutkan Mohamad Zul Yusoff, 37, seterusnya menyelamatkan isteri, empat anak serta ibunya daripada terkorban dalam kejadian kebakaran di Kampung Betut, Mergong hari ini.

Menurut Mohamad Zul, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi lalu dia bingkas bangun mengejutkan semua ahli keluarganya dan membawa mereka keluar.

"Saya dengar letupan lepas itu saya terlibat asap tebal. Saya selamatkan anak dan mak saya, selepas itu saya tak boleh masuk dalam rumah sebab api marak. Saya terus menjerit minta tolong orang kampung," katanya.

Menceritakan kembali Mohamad Zul berkata, isterinya Marina Md Ariff, 44, turut membantu menyelamatkan ibunya, Fatimah Mahmud, 70, yang ketika itu sedang tidur di tingkat atas rumah bersama empat anak mereka berusia dari enam sehingga 11 tahun.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah dan segalanya berlaku dengan pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga. Lima kereta serta dua buah motosikal miliknya turut musnah dalam kebakaran itu.

Mohamad Zul berkata, ketika itu, sepupunya, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, yang tinggal berjiran terdengar jeritannya dan keluar untuk membantu mengetuk pintu tetapi ketika api sedang marak dia gagal masuk ke dalam rumah.

Dia ternampak sepupunya sempat mengalihkan kenderaan dan beredar dari situ dan tidak lama kemudian menerima maklumat yang sepupunya lemas selepas terjatuh ke dalam sungai.

"Saya panggil dia minta tolong, lepas itu dia keluar dari rumah dia ketuk pintu suruh yang mana ada dalam rumah itu keluar.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tu dia lari ubah kereta dia. Kemudian dia duduk sorang-sorang di pokok tepi sungai itu dan dia jatuh dalam sungai. Selepas diselamatkan, dia tidak sedarkan diri," katanya.

Menurut Mohamad Zul, sepupunya sebelum ini tidak mengalami sebarang penyakit dan tidak menyangka dia terkena serangan jantung selepas melihat rumah terbakar.

Katanya, dia bersimpati dengan apa yang menimpa sepupunya itu kerana dia tinggal di rumah itu seorang diri selepas berpisah dengan isterinya dan dua anaknya.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.32 pagi.

Katanya, sebaik sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja tiba di lokasi api sedang marak membakar.

Jelas beliau api berjaya dipadamkan kira-kira 15 minit kemudian.

Katanya kebakaran turut memusnahkan lima buah kereta serta dua buah motosikal.

Mohamadul Ehsan memaklumkan mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!