Assange dibenar berkahwin dengan pasangannya, Stella Moris di penjara

Julian Assange (kanan) dan tunangnya, Stella Moris. - Foto Reuters
Julian Assange (kanan) dan tunangnya, Stella Moris. - Foto Reuters
A
A
A

MOSCOW - Pengasas WikiLeaks yang sedang menjalani hukuman penjara, Julian Assange mendapat permit membenarkan dia berkahwin dengan tunangnya Stella Moris, lapor Sputnik.

Minggu lepas, Assange dan Moris memfailkan saman terhadap Setiausaha Kehakiman United Kingdom (UK) Dominic Raab dan ketua Penjara Belmarsh kerana menghalang perkahwinan mereka.

Menurut akhbar The Guardian, majlis itu akan diadakan di Penjara Belmarsh. Sementara itu, akhbar The Sun pula melaporkan perkahwinan tersebut mungkin berlangsung pada Disember dan akan dihadiri beberapa tetamu, yang juga banduan di Penjara Belmarsh.

Assange dan Moris telah bertunang selama lima tahun dan mempunyai dua anak dan telah memohon bantuan untuk mereka melangsungkan perkahwinan pada Mei.

Pengasas WikiLeaks itu ditahan di London pada 11 April 2019 dan dijatuhi hukuman penjara 50 minggu kerana melanggar peraturan perintah ikat jamin pada 2012.

Dia berlindung di kedutaan Ecuador di UK untuk mengelak diekstradisi ke Sweden kerana menghadapi tuduhan serangan seksual yang kemudian kes itu digugurkan oleh sebuah mahkamah di Sweden.

Assange dikehendaki oleh Amerika Syarikat atas tuduhan pengintipan selepas WikiLeaks menerbitkan beribu-ribu dokumen sulit mengenai jenayah perang dilakukan tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan.

Jika dibicarakan dan disabitkan bersalah di AS, dia berdepan hukuman penjara sehingga 175 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!