Pemilik pertama suara Nobita meninggal dunia
PEMILIK suara pertama watak Nobita dalam siri kartun popular Jepun Doraemon, Yoshiko Ota, meninggal dunia baru-baru ini akibat kegagalan jantung pada usia 89 tahun.
Menurut laporan berita NHK, Ota menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di wilayah Kanagawa Jepun pada 29 Oktober.
Bagaimanapun, The Theatre Echo Company, di mana dia ditugaskan sebagai pengalih suara, hanya mengumumkan kematiannya pada 8 Nov.
Ota adalah pemilik pertama suara Nobita pada 1973.
Selain Doraemon, Ota juga telah meminjamkan suaranya kepada watak anime ikonik yang lain seperti Leo dalam 1966 Jungle Emperor Leo, Atsuko Kagami dalam 1969 Himitsu No Akko-chan, dan Baby Panda dalam Panda! Go, Panda!
Ota dilahirkan di wilayah Hyogo pada 25 April 1932, dan menghabiskan sebahagian besar masa mudanya di sana.
Pada tahun 1947, dia menyertai teater muzikal Takarazuka Revue, di mana dia bertemu suaminya dan yang juga pelakon suara, Osamu Saka.
Pada 2016, Ota menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Anime Tokyo atas sumbangannya kepada karya animasi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!