Trip feri di empat laluan dibatalkan
ALOR SETAR - Jadual waktu perjalanan feri dari dan ke Pulau Langkawi dibatalkan berikutan paras air laut yang cetek di laluan keluar dan masuk feri pada pagi 21 hingga 23 Mac ini.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pembatalan perjalanan disebabkan perairan Kuala Perlis dan Kuala Kedah mengalami air laut surut dibawah paras 0.5 meter (m) ini melibatkan empat laluan.
Beliau berkata, antara laluan terlibat ialah Langkawi-Kuala Perlis, Kuala Perlis-Langkawi, Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi.
“Dalam tempoh tiga hari itu, trip perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah dibatalkan tiga waktu iaitu jam 7.30 pagi, 8 pagi dan 9 pagi.
“Manakala, trip jam 8.30 pagi, 10 pagi dan 11 pagi dibatalkan untuk perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi untuk tempoh sama,” katanya.
Baharin berkata, trip Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi masing-masing hanya dibatalkan satu waktu sahaja iaitu jam 7.30 pagi dan 8.30 pagi.
Katanya, pihaknya terpaksa membuat pembatalan trip perjalanan demi keselamatan penumpang dan feri, bagaimanapun feri ihsan disediakan atas rasa tanggungjawab.
Baharin berkata, pihaknya ada melakukan trip perjalanan tambahan untuk dua laluan bagi mengelakkan penumpang menunggu terlalu lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!