Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS sejak 1 Oktober
KUALA LUMPUR - Nilai ringgit telah bertambah sebanyak 0.9 peratus berbanding dolar AS setakat 9 November sejak 1 Oktober, sejajar dengan trend mata wang serantau yang lain, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata, ringgit terus disokong oleh prospek dalam negeri yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang lebih tinggi.
"Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan dan pertukaran asing dijangka mengalami volatiliti yang berkala," kata beliau pada persidangan akhbar untuk mengumumkan prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku ketiga di sini pada Jumaat.
Nor Shamsiah berkata, dalam tempoh Julai hingga September, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dengan dolar AS, sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS secara meluas berikutan penjelasan yang lebih terperinci daripada Rizab Persekutuan AS bahawa program pembelian asetnya akan mula dikurangkan menjelang akhir tahun 2021.
Awal bulan ini, semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari keenam dan terakhir, bank pusat mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, kadar yang tidak berubah sejak Julai 2020.
Pakar ekonomi mengunjurkan bank pusat akan mengekalkan kadar pinjamannya pada paras semasa sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2022.
Sementara itu, BNM berkata, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan 16.1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2021.
Penguncupan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang ketat terutamanya pada bulan Julai, di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kegiatan ekonomi kemudiannya meningkat apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua dengan beberapa langkah pembendungan telah dilonggarkan," jelas beliau.
Nor Shamsiah menambah ekonomi dalam negeri berada pada landasan untuk berkembang sebanyak 3.0 peratus dan 4.0 peratus tahun ini sementara pertumbuhan akan disokong oleh kegiatan ekonomi yang bertambah baik memandangkan langkah-langkah pembendungan telah dilonggarkan secara berperingkat, di samping sokongan dasar yang berterusan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!