PKS boleh mohon bantuan BNM berhubung permohonan pinjaman

Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd Yunus
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mendapatkan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) sekiranya mereka berdepan kesukaran dengan permohonan pinjaman mereka, kata Gabenor BNM, Datuk Seri Nor Shamsiah Yunus pada Jumaat.

Walaupun terdapat dakwaan bank-bank sekarang adalah lebih ketat dalam menilai profil kredit, data yang ada mencerminkan bahawa pengagihan pinjaman telah berada ke tahap sebelum pandemik.

"Pinjaman mula meningkat tetapi wujud kes penolakan yang mungkin dilihat tidak bersifat adil.

"Jadi, sila tampil ke hadapan, supaya kami boleh menilai isu-isu ini dengan sewajarnya," katanya selepas mengumumkan prestasi suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini.

Beliau berkata, keputusan untuk meluluskan sebarang permohonan pinjaman bergantung kepada penilaian bank terhadap keupayaan peminjam untuk membayar.

Gabenor itu menjawab pertanyaan mengenai PKS yang berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman baharu terutama selepas mengambil moratorium dan pihak bank pula dilihat adalah lebih ketat dalam menilai profil kredit pemohon.

Nor Shamsiah menjelaskan, keseluruhan perniagaan bank berkisar kepada penawaran pembiayaan, baik kepada individu atau perniagaan dan disebabkan rekod mereka yang baik, pihak bank masih dapat menyokong keperluan pembiayaan mereka ketika negara melalui pandemik.

Pemberian pinjaman kepada sektor runcit dan PKS meningkat kira-kira 13.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sama seperti paras sebelum pandemik.

Artikel Berkaitan:

PKS digesa untuk meneroka pilihan yang tersedia melalui platform rujukan pembiayaan dalam talian bank pusat, iamSME, yang akan membantu mereka memadankan keperluan pembiayaan dengan tawaran yang sesuai bukan sahaja daripada bank tetapi juga pemberi pinjaman lain.

Peminjam turut boleh memanfaatkan khidmat nasihat kewangan yang ditawarkan oleh platform Khidmat Nasihat Pembiayaan atau MyKNP untuk membantu dalam permohonan pinjaman mereka, katanya.

Sehingga kini, hampir 6,000 PKS telah dibantu melalui platform tersebut.

Nor Shamsiah ketika mengulas mengenai inisiatif BNM berkata, bank pusat itu telah memperkenalkan banyak kemudahan pinjaman kepada PKS untuk membantu mereka mengharungi pandemik dan lebih penting sebagai pelaburan bagi masa depan.

BNM juga telah mengumumkan peruntukan tambahan bernilai RM4.5 bilion membabitkan dana sedia ada dan dua dana baharu yang dikhaskan untuk PKS.

BNM juga telah mengumumkan peruntukan tambahan bernilai RM4.5 bilion membabitkan dana sedia ada dan dua dana baharu yang dikhaskan untuk PKS.

Sebelumnya, ketika mengumumkan prestasi suku ketiga 2021, Nor Shamsiah berkata pembiayaan bersih Malaysia kepada sektor swasta berkembang sebanyak 3.9 peratus, mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam kedua-dua pinjaman tertunggak dan bon korporat yang belum dijelaskan.

Pembiayaan tertunggak kepada PKS menokok 3.2 peratus pada akhir September 2021 berikutan pertumbuhan pembayaran balik yang lebih tinggi berbanding pemberian pada suku tersebut, berikutan peralihan kepada bantuan pembayaran balik yang lebih disasarkan.

Bagi segmen perniagaan, permohonan pinjaman dan agihan pembiayaan kepada perniagaan bertambah baik pada September lepas memandangkan kelonggaran sekatan pergerakan.

Pinjaman perniagaan yang tertunggak naik 2.4 peratus, disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, katanya.

"Pengembangan ini juga didorong oleh perdagangan borong dan runcit, restoran serta hotel termasuk sektor perkilangan, sejajar dengan penyusunan semula aktiviti perniagaan di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi," katanya.

Katanya, bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman yang tertunggak menyederhana kepada 3.2 peratus di tengah-tengah langkah pembendungan dan beberapa kesan asas daripada pemulihan awal pertumbuhan pinjaman pada suku ketiga tahun lepas.

“Bagaimanapun, aliran kredit kami kepada isi rumah bertambah berikutan kelonggaran sekatan pergerakan yang dibuat secara berperingkat. Ini dicerminkan melalui peningkatan berterusan dalam pembayaran pinjaman di tengah-tengah permohonan pinjaman yang lebih tinggi pada Ogos dan September," katanya. -Bernama

TAG: PKS, BNM, Penilaian Kredit, Pinjaman, Nor Shamsiah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!