BNM akan gubal Akta Kredit Pengguna pada 2022

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) akan menggubal Akta Kredit Pengguna pada 2022 bertujuan mengukuhkan pengaturan kawal selia untuk semua aktiviti kredit pengguna termasuk penyedia skim "Beli Sekarang Bayar Kemudian" (BNPL).

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menggubal akta tersebut.

Menurut beliau, BNM sedang berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memantau perkembangan dan mendidik orang ramai tentang skim BNPL namun jumlah bahagian kredit kepada isi rumah dan skim itu kekal rendah.

“Untuk sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah nilai urus niaga dianggarkan sekitar 0.05 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah.

“Skim ini semakin meningkat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain dan wujud kebimbangan yang berasas bahawa skim tersebut mungkin menggalakkan pengguna berbelanja di luar kemampuan mereka dengan hutang tinggi yang mungkin tidak mampu mereka bayar dan kebanyakan Skim BNPL di Malaysia ditawarkan oleh sektor bukan bank," katanya.

Nor Shamsiah dipetik sebagai berkata, semasa sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi KDNK suku ketiga suku ketiga 2021 Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya membaca terma dan syarat dengan teliti terutamanya mengenai yuran dan caj, untuk membayar ansuran sepenuhnya tepat pada masanya bagi mengelakkan penalti dan mengambil perhatian dan menyimpan rekod terhadap setiap komitmen berkaitan skim BNPL yang mereka sertai untuk memastikan pengurusan hutang yang betul.

Penubuhan Akta Kredit Pengguna yang diumumkan dalam Bajet 2021 bertujuan menyediakan rangka kerja kawal selia bagi pengeluaran kredit pengguna selain daripada mengukuhkan pengawasan terhadap penyedia kredit bukan bank.

Artikel Berkaitan:

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia sudah lama mencadangkan supaya akta berkenaan diperkukuhkan bagi memberi perlindungan kepada pengguna dalam sektor kewangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!